SELANGOR

Pencemaran Sungai Semenyih: Operasi kilang sawit dihenti dua minggu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUL: Kilang proses minyak sawit yang didakwa sebagai punca pencemaran bau di Sungai Semenyih minggu lalu diarah menghentikan operasi selama dua minggu.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, sampel air untuk ujian kimia daripada kilang itu sudah diambil dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

“Siasatan awal mendapati terdapat kebocoran pada sistem saliran, bukan disebabkan kurang penguatkuasaan. Kilang ini sudah 30 tahun beroperasi dan sebelum ini tiada sebarang masalah dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan notis dan poster kempen bebas penggunaan penyedut minuman plastik kepada pengusaha premis makanan di Plaza Shah Alam.

Katanya, beliau telah meminta pemantauan dan penguatkuasaan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya perkara sama tidak berulang.

Malahan, beliau berkata, agensi Kerajaan Negeri turut meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan syarat lesen operasi kilang.

“Kilang hanya dibenarkan beroperasi di kawasan industri, mereka yang masih beroperasi atas tanah pertanian diberikan notis untuk berpindah atau tukar syarat tanah.

“Operasi kilang juga tidak boleh berhampiran sungai. Tiada kompromi dan tindakan tegas akan diambil kepada pengusaha kilang yang gagal mematuhi larangan itu,” katanya.

Loy Sian berkata, pemilik akan berdepan denda maksimum sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 2009 jika disabitkan kesalahan.

Dalam kejadian Rabu lalu, pencemaran bau dikesan berlaku di Sungai Semenyih yang mengakibatkan bekalan air bersih di sekitar Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih diarah henti tugas.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan pencemaran bau itu dikesan berpunca daripada sebuah kilang berhampiran dan tindakan pengambilan sampel dilakukan untuk ujian kimia.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :