NASIONAL

Pendakwaan mohon pindah kes rasuah Bung Moktar, isteri ke Mahkamah Tinggi

 

KUALA LUMPUR, 4 JUL : Pihak pendakwaan memfailkan notis usul untuk memindahkan kes Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad atas dakwaan rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai memaklumkan perkara itu, ketika sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

“Pihak pendakwaan telah memfailkan notis usul pada 18 Jun lepas berkaitan permohonan untuk memindahkan kes ini dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Bung Moktar, 60, dan Zizie Izette ,41, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Allan Suman turut memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat permohonan supaya kes Bung Moktar atau nama sebenarnya Moktar Radin dan Zizie Izette dibicarakan bersama.

“Bagaimanapun, permohonan itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi,” katanya dan menambah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kedua-dua kes itu mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan.

Kumaraendran mengesahkan perkara tersebut dan mahkamah menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status permohonan pihak pendakwaan.

Sementara itu, di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som menetapkan 9 Ogos untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes rasuah Bung Moktar dan isterinya ke Mahkamah Tinggi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Allan Suman ketika ditemui media selepas pengurusan kes itu hari ini.

“Pihak pendakwaan hari ini akan menulis surat kepada Mahkamah Sesyen supaya memindahkan tarikh 5 Ogos itu kepada 9 Ogos kerana Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh 9 Ogos ini untuk pendengaran permohonan (memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi) dan pihak pendakwaan dan pembelaan mahu tarikh sama di Mahkamah Sesyen,” katanya.

Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang merupakan seorang pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :