NASIONAL

Pendakwaan terhadap Riza Aziz boleh dibuat walaupun kesalahan di luar negara

 

KUALA LUMPUR, 5 JUL : Walaupun kesalahan yang didakwa dilakukan Riza Shahriz Abdul Aziz, berlaku di luar negara, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu boleh dituduh di mahkamah Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 membenarkan pendakwaan dibuat terhadap rakyat negara ini walaupun kesalahan itu berlaku di luar negara.

Ahmad Akram berkata, perkara itu diperuntukkan dalam Seksyen 82(1)(e) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

“Menurut akta itu, sesiapa yang melakukan apa-apa kesalahan terhadap harta kepunyaan kerajaan Malaysia di luar negara bolehlah diperlakukan seolah-olah kesalahan itu telah dibuat di mana-mana tempat di dalam negara,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Ahmad Akram berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes Riza, 42, yang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pengubahan wang haram meskipun kesalahan itu didakwa dilakukan di luar negara.

Riza, yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah USD248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, Amerika Syarikat dan di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 2011 dan 2012.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan bahawa Red Granite telah membuat bayaran penyelesaian dengan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, Ahmad Akram yang berada dalam barisan pendakwaan kes Riza berkata ia adalah satu penyelesaian sivil dan perkara itu tidak melepaskan mereka daripada pertuduhan jenayah.

-BERNAMA

 


Pengarang :