EXCOSELANGOR

Penduduk Pulau Ketam mohon kewarganegaraan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 48 pemohon program MySEL dibawa dari Pulau Ketam ke Putrajaya untuk urusan dokumen pengenalan diri.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, selepas proses carian dan semakan, seorang pemohon mendapat Kad Pengenalan Biru manakala selanjutnya masih dalam proses.

“Kebanyakan mereka adalah warga emas yang mengambil pengangkutan feri pada awal pagi dan bas disediakan untuk ke Putrajaya.

“Kerajaan Negeri akan membantu mereka dalam mendapatkan hak kewarganegaraan asalkan mereka ini mematuhi syarat ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Ganabatirau berkata, terdapat ramai lagi warga emas yang kurang sihat berumur antara 50 hingga 80 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, katanya, kekangan usia membataskan pergerakan mereka untuk ke Putrajaya.

“Justeru, mereka memohon supaya pegawai jabatan berkaitan dapat hadir ke Pulau Ketam untuk urusan semakan, carian dan selanjutnya,” katanya.

Sehingga kini, MySEL menerima 1,686 permohonan kes berkenaan dengan 457 dokumen lengkap dan 94 kes berjaya diselesaikan.

Kes selesai itu membabitkan warganegara adalah sebanyak 26 kes, anak angkat (7), Kad Pengenalan (1), Kad Pengenalan Merah (16), Kad Pengenalan Biru (4), Sijil Kelahiran (33) dan Imigresen (7).

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengesyorkan beberapa perkara yang boleh dilaksanakan Kerajaan Persekutuan bagi membantu penduduk Selangor tidak mempunyai pengenalan diri melalui program MySEL.

Antara syor itu adalah pertimbangan permohonan seperti anak kepada warganegara, anak angkat dan anak terabai selaras dengan Perlembagaan.

Selain itu, mempercepatkan proses permohonan dan tempoh waktu menunggu selain memberi alasan kukuh atas penolakan kewarganegaraan terbabit selain membenarkan pemohon berusia 21 tahun ke atas dan bukan warganegara untuk memohon taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 19.


Pengarang :