AGENDANASIONAL

Penerokaan hutan tidak sistematik antara punca haiwan liar ‘melata’

MELAKA, 28 JUL: Penerokaan hutan yang tidak sistematik antara faktor penyebab kepada haiwan liar ‘melata’ sehingga menganggu penempatan manusia apabila ia terpaksa keluar dari habitat asal bagi mendapatkan makanan dan pasangan.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan beberapa insiden haiwan liar seperti Harimau, Tapir, Gajah dan beberapa lagi haiwan liar memasuki kawasan penempatan manusia sehingga menimbulkan konflik haiwan dan manusia.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail berkata, sesetengah haiwan liar memerlukan kawasan luas untuk mencari makanan dan sebagai kawasan ‘teritori’ (wilayah) mereka.

“Penerokaan hutan yang tidak sistematik menyebabkan saiz hutan semakin mengecil, kewujudan kepulauan hutan dan habitat berdekatan dengan penempatan manusia memberi kesan kepada kawasan rayau bagi haiwan liar sehingga ia terpaksa memasuki kawasan penempatan manusia,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Ahmad berkata, bagi haiwan kecil seperti kera pula, ia mudah beradaptasi dengan manusia dan kerap berlaku konflik antara kera dan manusia apabila haiwan itu mengganggu penempatan manusia bagi mendapatkan makanan.

Bagi menghadapi masalah itu, semua pihak perlu memahami konsep pembangunan lestari agar ia dapat mengurangkan konflik antara manusia dan haiwan liar.

“Pihak berkuasa terutama pihak perancangan bandar mesti faham makna sebenar pembangunan lestari setempat dengan mengambil kira faktor keseimbangan alam sekitar setempat, kesejahteraan penduduk dan kelestarian,” katanya.

Di samping itu, pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan dan Majlis Daerah boleh membantu orang ramai dengan memberi pengetahuan mengenai hidupan liar di tempat mereka.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menyemak semula beberapa akta dan peraturan yang sedia ada dari semasa ke semasa bagi penambahbaikan kerana undang-undang bukan hanya kepada tindakan denda semata-mata sebaliknya banyak perkara lain perlu dilihat semula.

Ahmad berkata, di samping itu semakan terhadap undang-undang yang sedia ada perlu dilakukan bagi melihat pertindihan dengan peraturan lain dan pelaksanaannya perlu dilakukan secara bersepadu bagi mengelak berlakunya pertindihan. – BERNAMA


Pengarang :