Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
AGENDANASIONAL

Pengasuh taska didakwa cederakan kepala kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 26 JUL : Seorang pengasuh di sebuah taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berumur setahun sehingga meninggalkan kesan calar di bahagian kepala.

‘Iffah Husna Abdul Jalil, 22, didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada kanak-kanak itu dengan menggunakan jarum sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa iaitu kesan calar di bahagian kepala di sebuah pusat taska, di Jalan Bukit Pantai, Bukit Pantai di sini pada 11 pagi, 21 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh, bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan memohon jaminan minima sebanyak RM8,000 atas alasan faktor ekonomi.

“Anak guam saya tiada masalah untuk hadir ke mahkamah dan sedia menerima apa-apa syarat tambahan supaya dapat mengimbangi jumlah jaminan,” kata peguam itu.

Hakim Mahyon Talib membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes. -BERNAMA


Pengarang :