PUTRAJAYA, 29 Julai — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (tengah) bersama para pengusaha bas berhenti-henti selepas menyaksikan menandatangani perjanjian Bantuan Dana Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) di Kementerian Pengangkutan hari ini. Turut sama Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat Azlan Shah Al-Bakri (lima, kiri) dan Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali (enam, kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDA NASIONAL

Pengendali bas dapat kontrak ISBSF dua tahun mulai 2019

PUTRAJAYA, 29 JULAI: Sebanyak 52 pengendali bas henti-henti diberi kemudahan Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) bagi tempoh kontrak dua tahun untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti di lebih 350 laluan bas operasi mereka di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bermula tahun ini, kerajaan memberikan kontrak selama dua tahun kepada pengendali bas henti-henti bagi ISBSF berbanding kontrak setahun sebelum ini.

“Dengan kontrak dua tahun ini, akan memberi pengendali lebih keupayaan kewangan untuk menambah baik perkhidmatan dengan menambah serta menyediakan bas yang lebih baharu dan juga menambah laluan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian ISBSF di sini hari ini.

Katanya, kerajaan menyediakan kira-kira RM220 juta untuk ISBSF bagi tahun 2019 dan 2020, yang mana bagi tahun 2019 sahaja sebanyak RM110 juta disediakan, iaitu peningkatan berbanding RM91 juta yang disediakan pada 2018.

Sejak diperkenalkan pada 2012 hingga 2018, ISBSF membelanjakan peruntukan sebanyak RM785.3 juta bagi memberi bantuan kepada pengendali yang terbabit, katanya.

“Setiap tahun pengendali akan tertunggu-tunggu untuk memperbaharui kontrak tersebut tanpa mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan program ini atau tidak,” katanya.

Loke berkata, 52 pengendali syarikat bas henti-henti itu telah dikenal pasti dan memenuhi syarat permohonan ISBSF akan memberi khidmat kepada lebih 350 laluan bas henti-henti di kawasan luar bandar dan kurang populasi penduduk.

Beliau berkata, beberapa penambahbaikan juga dimasukkan ke dalam perjanjian ISBSF baharu itu antaranya maklumat laluan dan pergerakan bas perlu diintegrasi dan dipaparkan dalam sistem pemantauan yang disediakan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Antara pembaharuan yang perlu dilakukan ialah keperluan untuk memasang mesin tiket elektronik dan sistem GPS di dalam bas, katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata kontrak dua tahun itu berkuat kuasa dari Januari 2019 hingga Disember 2020 dan pengusaha boleh membuat tuntutan bayaran untuk tempoh Januari hingga Jun kepada kerajaan bermula hari ini.

“Kita akan proses permohonan yang dihantar dan dijangka pembayaran akan dibuat pada pertengahan Ogos ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :