Selangorkini
NASIONAL

Penggunaan ruang AirAsia dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group, menyasarkan penggunaan ruang dalam perniagaan kargo dan logistiknya, yang kini kurang digunakan, meningkat lima peratus susulan perkongsian baharu dengan Gobi Partners dan EasyParcel.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pada masa ini, syarikat penerbangan itu hanya menggunakan 15 peratus daripada 60 peratus ruang yang diperuntukkan untuk kargo dan logistik manakala baki 40-50 peratus adalah untuk bagasi.

“Saya percaya kita boleh menjadikan perniagaan logistik dan kargo sebesar segmen penumpang. Potensi perniagaan ini sangat luas,” katanya ketika mengumumkan perkongsian itu, di sini hari ini.

Teleport, landasan kargo dan logistik yang dijenamakan semula AirAsia, dan syarikat modal teroka Gobi Partners, melabur US$10.6 juta dalam e-dagang serantau dan syarikat penghantaran bungkusan, EasyParcel.

EasyParcel, yang mempunyai hampir setengah juta pengguna, akan menggunakan pembiayaan Siri B untuk memperluas penawarannya kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menerusi perkongsian itu, EasyParcel akan memanfaatkan keupayaan logistik dan infrastruktur Teleport yang meliputi lebih 100 bandar raya, 10,000 penerbangan AirAsia setiap minggu dan 1,000,000 tan kapasiti kargo.

CEO Teleport Pete Chareonwongsak berkata syarikat itu mahu menggandakan pendapatan dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada RM400 juta yang diperoleh tahun lepas.

“Teleport akan mengubah ekosistem logistik dan e-dagang, menjadikannya lebih mudah kepada orang, ramai terutama PKS, untuk memindahkan barangan dari A ke B.

“Menerusi kepakaran operasi kami pelaburan ini akan membolehkan kami mempercepat akses logistik untuk PKS, dan pada masa yang sama menggalakkan lebih banyak kerjasama dengan komuniti pemula niaga logistik wilayah,” katanya.

Turut hadir, Pengasas dan CEO EasyParce Clarence Leong dan Pengarah Urusan Gobi Partners, Jamaludin Bujang.

-BERNAMA


Pengarang :