Selangorkini
NASIONAL

Penggunaan senjata api kawal populasi anjing dibenarkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JULAI: Penggunaan senjata api bagi kawalan populasi anjing oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibenarkan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sudah mengemukakan surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung kebenaran untuk memusnahkan bagi mengawal populasi.

“Kementerian ini (Pertanian dan Industri Asas Tani) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 19 Februari 2019 mengemukakan surat kepada KPKT mengenai kebenaran untuk memusnahkan mana-mana haiwan dengan menggunakan senjata api bagi tujuan kawalan populasi oleh pihak berkuasa yang dibenarkan di bawah undang-undang bertulis,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Dr Noor Azmi meminta penjelasan berhubung kelulusan penggunaan senjata api oleh kementerian dan Lembaga Kebajikan Haiwan bagi mengawal kawalan populasi anjing.

Salahuddin berkata, bagi proses pemusnahan haiwan, ia perlu mematuhi dua peruntukan di bawah akta berkenaan iaitu Seksyen 30 (1) dan Seksyen 30 (2)(e).

Seksyen 30 (1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh membunuh dengan menembak dengan senjata api mana-mana anjing, kucing atau mana-mana haiwan lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta, melainkan jika dibenarkan oleh pihak berkuasa veterinar dalam kecemasan atau bagi maksud kawalan penyakit.

Seksyen 30 (2)(e) menjelaskan bahawa pembunuhan mana-mana haiwan adalah dilarang melainkan jika pembunuhan itu dilakukan bagi maksud kawalan populasi haiwan oleh mana-mana pihak berkuasa yang dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Mei lalu, tular satu klip video berdurasi 1 minit 39 saat yang menunjukkan seorang penguatkuasa MBI mengacukan selaras senapang ke arah seekor anjing sebelum melepaskan tembakan.


Pengarang :