SELANGOR

Penguasaan bahasa ibunda penting di samping martabat bahasa Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

RAWANG, 6 JUL: Generasi muda perlu diberi kesedaran terhadap pentingnya penguasaan bahasa ibunda di samping memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memperkasakan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, ini kerana ketiga-tiga bahasa terbabit mempunyai kepentingan dan fungsi masing-masing dalam membentuk sebuah masyarakat yang maju, harmoni serta memiliki jati diri.

“Saya mengucapakan syabas dan tahniah kepada penganjur iaitu Pejabat Pendidikan Daerah Gombak dan tuan rumah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa 2 kerana menganjurkan suatu program cukup bermakna untuk meningkatkan ketrampilan berbahasa dalam kalangan pelajar khususnya bahasa Tamil.

“Saya menyambut baik usaha ini kerana dalam meningkatkan kecintaan masyarakat terutama generasi muda terhadap bahasa ibunda di mana usaha ini perlu digerakkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Penutupan Karnival Bahasa Tamil Peringkat Negeri Selangor di SMK Taman Desa 2 di sini, hari ini.

Ganabatirau berkata, anggota masyarakat perlu diberikan suntikan kesedaran tentang pentingnya ketiga-tiga bahasa ini dalam mengejar arus globalisasi.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memberi sumbangan bagi memastikan program seperti terus diadakan pada masa akan datang.

“Diharapkan Karnival Bahasa Tamil ini akan menjadi agenda tahunan dan dijalankan dengan lebih meriah lagi pada tahun hadapan.

“Semoga impian untuk menjalankan program ini di Dewan Jubli Setiausaha Kerajaan Negeri akan menjadi kenyataan menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, pada karnival berlangsung hari ini sebanyak tujuh kategori dipertandingan iaitu Forum Remaja, Deklamasi Sajak, Pertandingan Syarahan, Pertandingan Menulis Cerpen (sekolah menengah rendah & atas), Pertandingan Pidato dan Pertandingan Mengarang (Tingkatan 6).

Daerah Hulu Langat berjaya mengungguli dua kategori iaitu Pengucapan Awam dan Mendeklamasi Sajak (menengah rendah) manakala Klang pula memenangi kategori Forum Remaja SMK (menengah atas).

Peserta Petaling Perdana memenangi Pertandingan Syarahan SMK (menengah rendah), Sepang bagi Menulis Cerpen SMK (menengah atas) dan Hulu Selangor pula memenangi Mengarang Esei SMK (Tingkatan 6).

Pemenang terpilih untuk mewakili Selangor pada pertandingan peringkat kebangsaan.


Pengarang :