AGENDA JENAYAH

Pengunjung khayal, pusat hiburan keluarga jadi ‘port’ dadah

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Seramai 88 pengunjung yang menggunakan sebuah bilik pusat hiburan keluarga di sebuah pasar raya di Puchong bagi menjalankan aktiviti dadah sambil berhibur ditahan lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, kesemua mereka terdiri daripada rakyat tempatan dan warganegara asing dipercayai menyewa bilik berkenaan dengan kadar RM280 sejam secara beramai-ramai untuk kegiatan tersebut.

“Dalam serbuan itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serdang telah menahan empat lelaki tempatan, 55 lelaki serta 29 perempuan warga Indonesia dan semasa serbuan mereka didapati berada dalam keadaan khayal.

“Seramai 59 daripada mereka didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Aktiviti ini bagaimanapun dipercayai tidak didalangi pihak premis,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

Menurut Ismadi, operasi yang dijalankan sehingga lewat malam itu berjaya menahan kesemua individu berumur lingkungan antara 18 hingga 50 tahun serta kebanyakannya didapati bekerja di sektor buruh dan perkilangan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua peket ketamin dan 11 biji pil ekstasi.

Kesemua individu berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :