Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Pengusaha institut memandu diberi amaran tidak terlibat rasuah

SEREMBAN, 20 JUL : Kementerian Pengangkutan hari ini memberi amaran kepada pengusaha institut memandu agar tidak terlibat dalam kegiatan meminta wang untuk meluluskan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) atau lesen kenderaan perdagangan.

Mengingatkan demikian, Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata jika terlibat, pengusaha institut bakal berdepan tindakan tegas termasuk lesen ditarik semula.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sedang menjalankan pemantauan terhadap institut-institut memandu bagi mengelakkan perkara yang tidak berintegriti ini daripada berlaku.

“Saya memberi amaran kepada semua institusi memandu supaya tidak mencabar kesabaran saya dan kementerian.

“Kementerian ambil pendekatan serius dalam perkara ini dan kita juga memantau semua institut memandu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pejabat MyCar Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan berlaku kegiatan meminta sogokan dan rasuah oleh institut memandu.

Tambah Loke, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan dan kepentingan orang ramai.

“Bukan sahaja kementerian ambil tindakan, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga akan ambil tindakan.

“Saya memang sudah minta pegawai saya supaya melihat dan apa-apa maklumat diterima dari orang awam kita akan buat intelligence gathering.

“Mereka dipantau tanpa mereka sedari kerana saya akan letakkan orang kita dengan memakai pakaian biasa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :