NASIONAL

Pengusaha kopi disaran pelbagaikan produk

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Malaysia adalah antara pengeluar produk kopi campuran tiga dalam satu yang terbaik di rantau ini, namun pengusahanya dilihat masih memberi tumpuan kepada penghasilan kopi campuran berbanding menghasilkan inovasi terkini dalam produk kopi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pengusaha produk itu perlu melakukan anjakan dengan mengambil kira trend penggemar kopi semasa untuk terus bersaing dalam industri itu.

“Sekarang orang Jepun telah mencipta mesin kopi dengan kapsul contohnya, ini adalah trend yang baharu. Saya rasa pengusaha kopi perlu meneroka lebih jauh daripada hanya mengeluarkan produk kopi campuran tiga dalam satu sahaja.

“Sehingga kini kita adalah pengeluar produk kopi campuran tiga dalam satu yang terbaik di rantau ini, tetapi citarasa pengguna kini sudah berubah kepada bentuk kapsul, dan kita perlu ke arah itu juga,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu usaha kementerian dalam meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman kopi, dan meningkatkan penghasilan kopi tempatan supaya seterusnya boleh dieksport ke pasaran luar.

– BERNAMA

 


Pengarang :