AGENDANASIONAL

Peningkatan kadar kebakaran sangat ketara – Bomba

JOHOR BAHRU, 22 JUL: Peningkatan kadar kebakaran di negara ini sangat ketara apabila 36,043 panggilan kebakaran dicatatkan tahun lalu berbanding 28,853 panggilan pada 2017.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid berkata, mengikut statistik, daripada jumlah itu, sebanyak 4,928 panggilan dicatatkan di Johor tahun lepas berbanding 3,610 tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan peningkatan kadar bilangan kebakaran di negara kita berlaku dengan sangat ketara yang memerlukan kita mengambil tindakan yang lebih proaktif termasuk langkah-langkah penguatkuasaan,” katanya berucap pada majlis perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran JBPM Johor di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Edwin Galan Teruki dan Timbalan Pengarah JBPM Johor Pauzan Ahmad.

Soiman berkata, tafsiran kerugian akibat kebakaran pula mencecah RM3.3 bilion tahun lalu berbanding RM5.2 bilion pada 2017 manakala, harta yang berjaya diselamatkan bomba ditaksirkan bernilai RM28.3 bilion tahun lalu berbanding RM51 bilion pada 2017.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu juga, 12,559 Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran (Notis A) dikeluarkan di seluruh negara termasuk 224 notis daripadanya dikeluarkan di negeri ini.

Katanya, notis yang dikeluarkan itu bukan bermaksud untuk mencari kesalahan di premis tetapi bertujuan memperbetulkan keperluan sistem pepasangan keselamatan kebakaran selain memastikan agar ianya dapat berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kebakaran.

“Suka saya nyatakan bahawa kebakaran selalunya berpunca dari kejahilan dan kelalaian manusia tentang aspek keselamatan kebakaran.

“Sehubungan itu, semestinya kita yang bertanggungjawab untuk mewujudkan situasi yang selamat dalam setiap aspek kehidupan harian kita,” katanya.

Mengenai seminar yang dihadiri 720 peserta itu, Soiman berharap ia dapat mempertingkatkan pengetahuan lebih jelas terhadap aspek bahaya kebakaran dan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dalam kalangan peserta sekali gus mengurangkan kejadian kebakaran di premis seperti sektor perkilangan, perhotelan serta perniagaan.

– BERNAMA


Pengarang :