AGENDAJENAYAH

Penjenayah miliki 21 rekod lampau ditahan samun warga asing

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Dua lelaki yang masing-masing mempunyai 21 dan 19 rekod jenayah ditahan polis, kerana disyaki terbabit dalam kes ragut di hadapan sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, di sini Rabu lepas.

Kedua-dua lelaki terbabit, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 pagi semalam, di kawasan Bandar Tun Razak, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian samun pada pukul 3.40 petang Rabu itu, dua lelaki menaiki motosikal menghampiri seorang wanita warga China dan seorang daripada lelaki terbabit menarik beg tangan wanita itu.

Beliau berkata antara barang yang dilaporkan hilang termasuklah pasport, telefon bimbit, gelang tangan perak dan wang tunai berjumlah RM4,000.

“Pemeriksaan polis terhadap kedua-dua lelaki terbabit menemui lapan paket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine, lima telefon bimbit dan beberapa peralatan yang dipercayai diguna untuk kegiatan mencuri motosikal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ujian saringan awal kencing yang dijalankan mendapati, kedua-dua lelaki terbabit positif dadah dan direman tujuh hari mulai hari ini. – BERNAMA


Pengarang :