Selangorkini
ADN SELANGOR

Penyanyi wanita derita ‘slipped disc’ dapat perhatian ADN

DAMANSARA, 17 JUL: Penyanyi wanita popular sekitar tahun 90-an, Shima hari ini menerima bantuan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong selepas berita keperitan hidupnya yang menghidap Slipped Disc menjadi bualan baru-baru ini.

Bantuan berupa wang tunai dari Elizabeth dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diberikan untuk meringankan beban hidup yang ditanggung Shima.

Kata Elizabeth, beliau tersentuh hati melihat nasib penyanyi yang pernah popular dengan lagu berjudul Teringin itu kerana terpaksa bergantung dengan ubat sejak menghidap sakit belakang kira-kira lima tahun lalu.

“Saya menyedari kesukaran dihadapi dia (Shima) kebelakangan ini dan sebagai ADN, saya mengambil peluang untuk berjumpa dengannya untuk menghulurkan sedikit bantuan. Selain itu, PKM saya akan membuat tindakan susulan dengan Lembaga Zakat Selangor supaya boleh memberi bantuan sepatutnya.

“Saya berharap peminat muzik di seluruh Malaysia boleh membantunya kerana dia juga masih menjaga ibu yang turut mengalami kesakitan,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Elizabeth berkata, pihaknya juga akan membantu mencari lokasi baharu yang sesuai bagi membolehkan anak seni itu meneruskan perniagaan Warung Teringin yang roboh susulan kejadian ribut baru-baru ini.

“Kejadian itu menyebabkan Shima hilang mata pencarian kerana warung berkenaan diusahakannya bersama suami untuk menampung kehidupan sekeluarga.

“Saya dengan bantuan Ahli Majlis akan cuba mencari tempat lebih sesuai untuk membuat perniagaannya sekali lagi walaupun tempat dia berniaga bersama penduduk buat masa ini belum mendapat lesen.

“Kita akan bincang dengan mereka (ahli majlis) supaya turut bersama-sama membantu penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Shima atau nama penuhnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, bersyukur atas keprihatinan pihak Elizabeth yang sudi meluangkan masa untuk menziarahinya dan menghulur bantuan.

Ditanya sama ada dia bersetuju sekiranya diberi tapak baharu untuk menjalankan perniagaan, penyanyi yang pernah melahirkan album Inggeris berjudul More Than Your Girl pada 1993 itu menyambut baik bantuan berkenaan.

“Warung yang ada sebelum ini dekat dengan rumah tetapi kalau keluar ke lokasi lebih jauh mungkin memberi sedikit kesukaran buat saya kerana masalah pengangkutan.

“Namun, buat masa ini saya masih tidak dapat berniaga atas saranan doktor yang tidak mengizinkan saya berdiri lama kerana dibimbangi akan memudaratkan kesihatan.

“Saya dinasihatkan untuk rehat sehingga kesihatan kembali pulih sebab penyakit ‘slipped disc’ di tahap kronik sepanjang masa,” katanya.


Pengarang :