Selangorkini
KUALA LUMPUR, 26 Julai — Cokmar ialah dua batang tongkat pendek yang mempunyai hulu berbentuk kubah. Ia diperbuat daripada perak dengan masing-masing berukuran 81.32 sentimeter. Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini akan berlangsung dalam suasana penuh istiadat gilang-gemilang, lambang kemegahan sistem raja berperlembagaan di negara ini. Pada hari bersejarah itu, rakyat berpeluang untuk melihat peralatan kebesaran diraja dibawa dengan tertib oleh para panglima, hulubalang istana dan Dang Perwara selain pakaian istiadat yang indah dah halus buatannya, yang disarung oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BUDAYA RENCANA

Peralatan kebesaran Diraja lambang kedaulatan

KUALA LUMPUR, 26 JUL : Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini, akan berlangsung dalam suasana penuh istiadat gilang- gemilang, lambang kemegahan sistem raja berperlembagaan di negara ini.

Pada hari bersejarah itu, rakyat berpeluang untuk melihat peralatan kebesaran diraja dibawa dengan tertib oleh para panglima, hulubalang istana dan Dang Perwara selain pakaian istiadat yang indah dah halus buatannya, yang disarung oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seperti kerajaan beraja lain, contoh, England dan Jepun, Malaysia yang memelihara institusi beraja dengan mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara, turut mempunyai alat-alat kebesaran khas yang diwarisi secara turun-temurun sejak kemerdekaan negara.

Peralatan kebesaran ini adalah identiti atau imej pemerintah dan kerajaannya. Menurut catatan sejarah, peralatan itu juga dibawa semasa peperangan, memburu, dan ketika raja keluar dari istana. Antara barang yang dijadikan simbolik oleh raja-raja ialah senjata, pakaian, pingat, dan mahkota.

Sempena majlis pertabalan ini, Yang di-Pertuan Agong akan menyarung pakaian istiadat iaitu Muskat, Tengkolok, Pending dan Keris Pendek iaitu sebahagian daripada peralatan kebesaran.

MUSKAT

Muskat iaitu kot panjang berwarna hitam dengan hiasan kerawang emas adalah pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baju ini berasal dari Negara Muskat iaitu sebuah negara Islam berhampiran Negara Iran. Pakaian rasmi ini mula dipakai pada 1960 iaitu semasa pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-3 iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj. Baju ini diubahsuai daripada pakaian rasmi pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kedah.

Muskat hanya dipakai pada acara tertentu seperti pada Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan, semasa lawatan rasmi baginda ke negeri-negeri di seluruh Malaysia dan perasmian persidangan Parlimen.

Istimewa pada Istiadat Pertabalan kali ini, Seri Paduka dijangka menyarung Muskat yang direka dengan mengambil inspirasi daripada Muskat yang dipakai oleh Paduka Ayahanda baginda Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada hari pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-7.

Menurut Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini, hasrat sebenar Yang di-Pertuan Agong ialah untuk memakai Muskat kepunyaan Almarhum Paduka Ayahanda namun tidak kesampaian kerana saiz yang tidak sesuai.

TENGKOLOK DIRAJA

Di samping Muskat, Seri Paduka akan turut menyarung Tengkolok Diraja yang diperbuat daripada kain songket berwarna hitam bersulam benang emas.

Paling istimewa tengkolok atau tanjak ini adalah yang sama dipakai oleh Almarhum Paduka Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika baginda ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 1979.

Solek atau ikatan destar adalah ikatan “Dendam Tak Sudah” yang berasal dari Negeri Sembilan.

Pada hadapan tengkolok disemat anak bulan dan bintang pecah empat belas diperbuat daripada emas putih, serta terdapat Lambang Kerajaan Malaysia di tengah-tengah bintang.

PENDING DIRAJA DAN KERIS PENDEK DIRAJA

Pending Diraja dan Keris Pendek Diraja juga adalah juga sebahagian daripada pakaian istiadat pertabalan. Ia diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah bersulamkan permata delima dan di tengah-tengahnya tertera Lambang Kerajaan Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

Keris Pendek Diraja pula diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas.

Hulu keris dinamakan “Hulu Pekaka” dan berupa kepala “Garuda”, manakala pada sampir keris diterapkan dengan Lambang Kerajaan Persekutuan. Keris ini merupakan salah satu pakaian kebesaran diraja dan seperti Keris Panjang Diraja, hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memakainya.

KERIS PANJANG DIRAJA

Keris Panjang Diraja pula menjadi tanda kebesaran dan kekuasaan kerajaan.

Menurut Azuan Effendy, keris tersebut adalah simbol punca kuasa dan pemusatan kuasa yang diamanahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada Hari Pertabalan Datuk Paduka Maharaja Lela akan mempersembahkan Keris Panjang Diraja ini kepada Yang di-Pertuan Agong, di mana Baginda akan menerima keris, mencabutnya daripada sarung dan mengucupnya.

Ia bersalut emas dari hulu hingga ke sarung, dan di atas sampir diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan serta lambang 11 buah negeri Tanah Melayu.

Mata keris ditempa daripada besi waja yang diambil daripada 11 bilah keris dari negeri-negeri. Hulu keris itu berbentuk “tapak kuda” dengan hiasan buah jering.

COGAN ALAM DAN COGAN AGAMA

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Cogan Alam adalah sebatang tongkat perak sepanjang 162.66 sentimeter atau bersamaan lima kaki empat inci. Pada sekeliling bulatan di atas tongkat diterapkan lambang 11 buah negeri Tanah Melayu dan diperbuat daripada emas.
Bulatan itu ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri, simbolik pada kegagahan haiwan itu mempertahankan negara manakala tongkatnya dihiasi motif enam tangkai padi daripada emas.
Pada bahagian paling atas pula diletakkan ukiran anak bulan dan bintang diperbuat daripada emas yang melambangkan Islam sebagai teras negara.
Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini akan berlangsung dalam suasana penuh istiadat gilang-gemilang, lambang kemegahan sistem raja berperlembagaan di negara ini.
Pada hari bersejarah itu, rakyat berpeluang untuk melihat peralatan kebesaran diraja dibawa dengan tertib oleh para panglima, hulubalang istana dan Dang Perwara selain pakaian istiadat yang indah dah halus buatannya, yang disarung oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Cogan Alam adalah sebatang tongkat perak sepanjang 162.66 sentimeter atau bersamaan lima kaki empat inci. Pada sekeliling bulatan di atas tongkat diterapkan lambang 11 buah negeri Tanah Melayu dan diperbuat daripada emas.

Bulatan itu ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri, simbolik pada kegagahan haiwan itu mempertahankan negara. Manakala tongkatnya dihiasi motif enam tangkai padi daripada emas.

Pada bahagian paling atas pula diletakkan ukiran anak bulan dan bintang diperbuat daripada emas yang melambangkan Islam sebagai teras negara.

Cogan Agama pula yang adalah sebatang tongkat perak sepanjang 155.04 sentimeter atau lima kaki satu inci.

Pada batang dan hulunya diterapkan dengan kalimah yang bermaksud “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah,” dan di bawah kalimah itu terdapat petikan ayat suci Al-Quran yang bermaksud “tiada pertolongan melainkan dengan pertolongan Allah.”

Manakala pada puncak tongkat terdapat ukiran anak bulan dengan bintang pecah lima diperbuat daripada emas.

GENDIK DIRAJA DAN KALUNG DIRAJA

Gendik Diraja dan Kalung Diraja adalah pakaian istiadat khas untuk Raja Permaisuri Agong pada Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan pada Istiadat-Istiadat Kebesaran Diraja yang lain.

Gendik Diraja atau pemeles diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat.

Di tengah-tengahnya, di atas awan larat terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih.

Gendik ini direka khas supaya boleh dipisahkan menjadi loket dan kerongsang.

Kalung Diraja pula ialah rantai leher yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian. Kalung ini adalah sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agung dalam istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga boleh dipisahkan menjadi sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

ALAT PERANG ZAMAN SILAM

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Keris Panjang, yang bersalut dengan perak serta mempunyai ukiran di hulu dan sarungnya adalah antara tiga senjata Melayu lama yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran Diraja. Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini akan berlangsung dalam suasana penuh istiadat gilang-gemilang, lambang kemegahan sistem raja berperlembagaan di negara ini.
Pada hari bersejarah itu, rakyat berpeluang untuk melihat peralatan kebesaran diraja dibawa dengan tertib oleh para panglima, hulubalang istana dan Dang Perwara selain pakaian istiadat yang indah dah halus buatannya, yang disarung oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peralatan diraja lain yang akan mengiringi Istiadat Pertabalan adalah alatan perang zaman silam, iaitu Cokmar, Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja.

Cokmar ialah dua batang tongkat pendek yang mempunyai hulu berbentuk kubah.

Cokmar diperbuat daripada perak dengan masing-masing berukuran 81.32 sentimeter.

Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja ialah tiga senjata Melayu yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran diraja.

Keris Panjang dan Sundang bersalut dengan perak serta mempunyai ukiran di hulu dan sarungnya.

Peralatan Diraja yang turut memainkan peranan penting pada istiadat-istiadat rasmi ialah 20 kaki Payung Ubur-Ubur Kuning dan 20 batang Tombak Berambu berlok tiga.

Payung Ubur-Ubur Kuning diperbuat daripada kain sutera berwarna kuning diraja berpuncak anak bulan dan bintang, manakala Tombak Berambu diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari 11 buah negeri di Semenanjung. -BERNAMA


Pengarang :