KUALA LUMPUR, 20 Julai — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) yang juga Presiden PPBM dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (kanan) yang juga Timbalan Presiden PPBM pada Perhimpunan Agung Khas PPBM di MAEPS Serdang hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMA

Perhimpunan Khas Bersatu lulus 79 pindaan perlembagaan

SERDANG, 20 JUL: Perhimpunan Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluluskan 79 pindaan baru dan fasal tambahan di dalam perlembagaan parti itu.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, terdapat satu cadangan pindaan yang tidak mendapat sokongan majoriti perwakilan.

“Sementara mereka bersetuju untuk buka ahli bersekutu untuk bukan pribumi tetapi untuk jawatankuasa tertentu mereka tak bersetuju.

“Oleh sebab ini adalah pendapat majoriti, maka kita terima iaitu kita tidak ada jawatankuasa ahli bersekutu bukan pribumi yang dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia di sini, hari ini.

Mahathir berkata, pindaan ini dibuat sesuai dengan situasi semasa politik negara.

Beliau juga yakin pindaan membabitkan kira-kira 1,200 perwakilan yang hadir itu akan memperkemaskan lagi perlembagaan dan gerak kerja parti terbabit.

Selain itu, terdapat satu cadangan perwakilan supaya Bersatu melaksanakan sistem satu ahli satu undi dalam pemilihan.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini Bersatu hanya dapat melaksanakan sistem satu ahli, satu undi di peringkat cawangan dan bahagian sahaja berikutan isu teknikal yang lebih rumit.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula berkata, Setiausaha Agung parti akan mengemukakan pindaan pada perhimpunan khas ini kepada Pendaftar Pertubuhan.

Beliau berkata, antara pindaan lain dalam perhimpunan khas ini membabitkan perincian terhadap tanggungjawab ahli parti sehingga pemimpin tertinggi, hal-hal membabitkan Jawatankuasa Lembaga Displin dan Lembaga Rayuan serta peraturan mesyuarat semua peringkat.


Pengarang :