NASIONAL

Perhimpunan Sekretariat Suara Rakyat: Polis akan panggil Lokman

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Polis akan memanggil Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran anjuran Sekretariat Suara Rakyat hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata perhimpunan itu berlangsung tanpa sebarang pemberian notis kepada polis seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata perhimpunan yang bermula pada kira-kira 5 petang tadi disertai lebih kurang 30 orang dan polis akan menjalankan siasatan kes berkenaan.

“Sepanjang perhimpunan berlangsung, PDRM telah mengaturkan anggota yang mencukupi bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Perhimpunan itu berlangsung kira-kira 30 minit dalam keadaan aman sebelum Lokman bersama pengikutnya bersurai sekitar 6 petang. – BERNAMA


Pengarang :