SELANGOR

Perkasa TVET, tangani lambakan buruh asing

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 9 JUL: Kerajaan Negeri akan terus memperkasa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya terhadap generasi muda sebagai langkah mengurangkan lambakan pekerja asing yang memonopoli industri pembinaan serta pembuatan di Selangor.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron berkata, pendidikan TVET mampu melahirkan keupayaan tenaga kerja kepada bentuk automasi memandangkan kebanyakan industri di negara ini masih bergantung kepada bentuk pekerjaan manual.

“Kita bergerak sejak 2016 untuk menunjukkan satu cita-cita mengembangkan lagi pendidikan TVET kerana kebanyakan warga asing banyak terbabit dalam sektor 3D (Dirty, Difficult & Dangerous).

“Apabila kita mengembangkan TVET, pada akhirnya keupayaan tenaga kerja adalah kepada bentuk automasi dan akhirnya automasi adalah jawapan kepada pengurangan pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Dialog Bajet 2020 Kluster Pendidikan bertemakann Hab Pendidikan Holistik: Pemacu ‘Selangor Maju Bersama’, di Grand Ballroom, Tenera Hotel, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mengajukan beberapa pertanyaan yang antara lain menggesa Kerajaan Negeri supaya memberi fokus terhadap aspek melengkapkan kemahiran graduan TVET bagi memenuhi pasaran kerja sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Pada masa sama, Azmie berkata, sekiranya kaedah automasi tidak diaplikasi dalam mana-mana industri, Malaysia akan ketinggalan kerana negara-negara serantau lain semakin giat membangunkan Industri 4.0 (IR4.0).

Katanya, negara turut dibelenggu kepada keperluan menggunakan tenaga buruh asing berikutan sektor pembuatan dan pembinaan adalah salah satu industri yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja dalam menghasilkan produk serta perkhidmatan.

“Ia adalah pekerjaan yang ‘Labor Intensive’ jadi kemungkinan lebih banyak buruh-buruh asing diperlukan di negara kita dan, jadi ini yang kita mahu elakkan.

“Kaedahnya adalah menggunakan automasi atau menggunakan mantera baharu iaitu IR4.0 dengan mengautomasi kerja yang dibuat secara rutin dan ianya dilaksanakan daripada tenaga buruh manusia kepada menggabungkan mesin ataupun robot,” katanya.

 


Pengarang :