Selangorkini
mde
SUKANKINI

Perlawanan akhir Piala Mokhtar Dahari dijangka sengit

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 9 JULAI: Perlawanan akhir Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari (PDMD) bawah 18 tahun yang akan berlangsung pada 12 Julai ini di Stadium Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya dijangka sengit.

Pengerusi Kejohanan, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir berkata, perlawanan itu menyaksikan pertarungan antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam dan bekas juara siri kelima SMK Tinggi Kajang.

“Kejohanan itu menjadi landasan terbaik bagi mencungkil bakat pemain bola sepak yang berpotensi ke peringkat lebih tinggi.

“Kita lihat keseimbangan pasukan yang baharu pertama kali layak (SMK Seksyen 7) yang turut mempamerkan aksi permainan berkualiti,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Emran berkata, kejohanan itu ilham Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menemukan 32 buah sekolah terbaik di seluruh negeri.

“Ia juga selaras titah baginda yang mahu melihat Selangor konsisten dalam melahirkan pemain berbakat di peringkat muda.

“Kita berharap bakat muda di Selangor ini akan menyerlah di persada bola sepak negara juga antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru ibu bapa, pegawai serta kakitangan juga jabatan pendidikan daerah untuk hadir sama memeriahkan perlawanan akhir berkenaan.


Pengarang :