Selangorkini
SUKANKINI

Perlawanan JDT-PJ City FC ditunda akibat virus influenza

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 JUL: Perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Petaling Jaya City FC yang dijadual berlangsung esok terpaksa ditunda selepas sebahagian besar pemain dan pegawai JDT disahkan dijangkiti virus influenza.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perkara itu selepas menerima permohonan penundaan perlawanan minggu ke-20 Liga Super daripada JDT berserta laporan penuh doktor perubatan pada hari ini.

“Selepas penelitian itu, MFL telah bersetuju untuk tidak meneruskan perlawanan disebabkan bimbang virus influenza yang merupakan sejenis penyakit berjangkit melalui saluran pernafasan disebabkan sesuatu virus, akan memberikan impak negatif kepada persekitaran perlawanan itu jika aksi itu diteruskan.

“Ini kerana virus Influenza bukan sahaja memberikan risiko tinggi kepada pasukan pelawat sebaliknya turut bimbang terdedah kepada jangkitan itu adalah orang ramai jika perlawanan itu diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Perlawanan itu akan dilangsungkan 16 Julai hadapan keputusan ini diterima dan disokong kedua-dua pasukan.

Dalam perkembangan sama, pasukan Kuala Lumpur turut bersetuju untuk menunda tarikh perlawanan dengan JDT pada 14 Julai ini kepada 13 Julai bagi membolehkan pasukan lawan itu mempunyai tempoh rehat dua hari sebelum perlawanan menentang PJ City FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah menunda perlawanan Liga Premier di antara Perlis dan UiTM FC selepas 14 pemain Perlis diserang penyakit cirit birit pada Jun 2014.

 

Kredit Foto: Facebook Malaysia Football League


Pengarang :