AGENDANASIONAL

Perlu masa teliti, buka semula kes berprofil tinggi

GEORGE TOWN, 23 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan masa untuk meneliti dan membuka semula kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan individu berpengaruh.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, beliau sedang meneliti kesemua kes berkaitan termasuk kes-kes di Sarawak dan Pulau Pinang.

“Ini bukan kali pertama saya dimaklumkan ada banyak kes yang dikatakan kontroversi, mendapat perhatian ramai. Bukan sahaja di Pulau Pinang, di Sarawak melibatkan VIP dan sebagainya. Saya ingin memberitahu bahawa saya sedang mengkaji semula kes-kes berkenaan.

“Saya telah meminta semua fail yang melibatkan individu kontroversi dan saya perlu meneliti dan memahami kenapa ia ditutup, adakah ia benar-benar NFA (tiada tindakan selanjutnya) atas alasan yang betul. Saya memerlukan sedikit masa untuk melakukannya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM akan membuka semula kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Latheefa berkata tiada keperluan untuk pihaknya membuka semula kes berkenaan kerana sudah diputuskan di mahkamah.

Menurutnya, SPRM tidak boleh berbuat apa-apa melainkan ada bukti dan isu terbaharu yang membolehkan kes tersebut dibuka semula.

“Bagi saya kes-kes yang telah sampai tahap mahkamah dan telah selesai, memang nak buka semula (kes-kes itu) tidak masuk akal. Apabila kes telah selesai di mahkamah, sudah selesai. Tidak boleh membuka kes yang telah selesai. Apabila kes mahkamah selesai dan ditutup,” katanya.

Pada 3 September lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Lim yang kini Menteri Kewangan dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Keputusan itu dibuat mahkamah berikutan permohonan peguam Ramkarpal dan peguam Datuk V Sithambaram serta peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu. – BERNAMA


Pengarang :