Processed with VSCO with a6 preset
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Perluas telesidang bina interaksi dengan negara luar

SHAH ALAM, 29 JULAI: Telesidang melalui komunikasi ‘Skype’ atau video wajar diperluas ke seluruh sekolah sebagai usaha membina keyakinan pelajar untuk berinteraksi dengan negara luar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sistem komunikasi secara dalam talian itu dilihat satu perkembangan sihat bagi membolehkan pelajar mahupun anggota di sesebuah sekolah berkenaan meningkatkan kecekapan ilmu melalui pergaulan peringkat global.

“Jika dulu kita sukar untuk mendapatkan telefon di setiap rumah, tetapi kini hampir kebanyakan pelajar sekolah mempunyai alat komunikasi seperti telefon bimbit atau alat peranti lain yang menghubungkan mereka dengan dunia luar.

“Bagaimanapun, perhubungan dengan dunia tidak mampu dicapai jika pelajar tidak yakin terhadap diri sendiri kerana setidak-tidaknya medium ini memberi ruang untuk berhubung dengan negara luar secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Festival Antarabangsa #MySchoolGoals 2019, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar; Pengarah PPAS, Mastura Muhamad; Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Muhamad Radzi Abdullah dan Pengetua SMK TTDI Jaya, Azahar Nor Arifin Ahmad.

Sementara itu, Azahar berkata, pihaknya turut memberi ruang kepada semua pelajar di sekolah berkenaan untuk berkomunikasi dengan negara luar melalui ‘Skype’.

Katanya, medium itu dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan kebanyakan pelajar di sekolah terbabit fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Saya berbangga dengan pencapaian ini yang mungkin tidak berada di semua sekolah. Kita mempunyai rangkaian ‘Skype’ dengan sekolah di luar negara seperti Lebanon, Vietnam dan India.

“Mereka dapat memberi sesuatu di luar pengetahuan berhubung pergaulan dengan dunia global dan kita sentiasa memangkinkan pelajar untuk mendapatkan ilmu di mana sahaja bukan sekadar di dalam kelas,” katanya.

Katanya, penerimaan terhadap program yang dibuat mengikut ketetapan jadual juga mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelajar.

“Kita mempunyai beberapa jadual yang diberikan kepada semua pelajar, malahan mereka memberi komitmen baik untuk menyertai program ini seperti ditetapkan,” katanya.


Pengarang :