Selangorkini
NASIONAL

Permaidani merah sambut Agong di Jeddah

JEDDAH, 13 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Jeddah hari ini dari Madinah untuk mengerjakan umrah di Makkah.

Ketibaan Seri Paduka Baginda di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di sini pukul 11.30 pagi waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia), diberi sambutan hamparan permaidani merah oleh Gabenor Jeddah Putera Mishaal bin Majed bin AbdulAziz.

Seri Paduka Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormat setempat, yang terdiri daripada 28 pegawai sebelum diteruskan dengan mesyuarat peribadi dengan Putera Mishaal.

Turut mengiringi Seri Paduka dalam penerbangan ialah Putera Tengku Amir Nasser Ibni Sultan Abdullah dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sultan Abdullah dan delegasi dijadual menuju ke Makkah dengan menaiki kereta, dengan tempoh perjalanan mengambil masa kira-kira sejam sebelum pulang semula ke Jeddah selepas menyempurnakan umrah.

Seri Paduka mendarat di Madinah semalam untuk lawatan khas tiga hari atas jemputan Raja Salman Salman bin Abdulaziz Al Saud, penjaga Dua Masjid Suci itu.

Jadual lawatan Seri Paduka Baginda pada Jumaat dimulakan dengan lawatan ke makam Nabi Muhammad di Masjid Nabawi, di mana Baginda menunaikan sembahyang Jumaat. Di sana Seri Paduka Baginda diiringi oleh Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Kemudian Seri Paduka Baginda menemui kira-kira 200 jemaah haji Malaysia, pelajar dan pekerja pada resepsi minum petang di mana Seri Paduka Baginda berharap rakyat Malaysia di sana akan terus membantu memelihara dan mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia erat antara Malaysia dan Arab Saudi.

-BERNAMA

 


Pengarang :