Selangorkini
KUANTAN, 25 Julai — Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan) berkenan beramah mesra bersama Datin Seri Tan Puay Ling, 58, (kiri) serta rakan-rakan ketika ditemui baru-baru ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
PERSONALITI RENCANA

Permaisuri Agong suka memancing, selalu dapat ikan

KUANTAN, 25 JULAI: Minat Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada dunia jahitan dan masakan sememangnya sudah diketahui umum, tetapi ramai mungkin tidak tahu Raja Permaisuri Agong juga mempunyai hobi lain yang jarang menarik minat kaum wanita, iaitu memancing.

Di sebalik kelembutan perwatakan dan wajah putih kemerahan baginda, Tunku Azizah sebenarnya cekap memasang sendiri umpan pada mata kail dan tidak pernah pulang dengan tangan kosong setiap kali ‘melayan’ ikan di laut.

Sisi lain Raja Permaisuri Agong itu diceritakan rakan baginda, Datin Seri Tan Puay Ling, 58, yang berkata ​​​​​​hobi itu antara kegemaran baginda walaupun agak jarang dapat melakukannya.

“Kali terakhir kami memancing ialah tahun lalu di Pulau Redang (Terengganu) dan seperti biasa, baginda tidak perlu menunggu lama untuk mendapat ikan.

“Saya pun tidak tahu bagaimana…mungkin kerana bakat. Baginda juga begitu selesa berada di laut sedangkan saya sering mabuk laut walaupun kini semakin baik selepas beberapa kali mengikut baginda memancing,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Mengimbau perkenalan mereka, Tan berkata beliau sering melihat Tunku Azizah semasa anak bongsunya, Ti J-hhix dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Sultan Abdullah belajar di tadika yang sama di sini sekitar 1999.

Bagaimanapun, ketika itu beliau hanya mampu memandang Tunku Azizah dari jauh setiap kali baginda mencemar duli menghadiri aktiviti tadika mahupun datang menghantar atau menjemput putera baginda itu.

“Biarpun Tunku Azizah nampak mesra dengan rakyat, namun saya hanya memerhati dari jauh sahaja sebab segan untuk menegur kerana baginda seorang yang berkedudukan tinggi. Kali pertama kami bercakap adalah semasa saya menemani anak perempuan saya ke hari sukan sekolah rendahnya.

“Ketika itu Tunku Azizah mencemar duli ke sekolah sama bagi memberi sokongan kepada anakanda baginda Tengku Amir Nasser Ibrahim dan baginda menegur cara saya memakai baju kurung Kedah bersama seluar panjang dengan mengatakan ia adalah cara yang menarik untuk menggayakan pakaian tradisional,” katanya.

Selepas itulah, katanya beliau mulai rapat dengan baginda ditambah lagi selepas suaminya Datuk Seri Ti Lian Ker aktif politik di Pahang.

Seperkara lagi yang dikagumi Tan mengenai Tunku Azizah ialah ‘kekuatan luar biasa’ yang dimiliki Tengku Ampuan Pahang itu setiap kali mencemar duli untuk menyantuni rakyat.

Tan yang sering menemani Tunku Azizah memasak di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Pahang mengakui hairan kerana Tunku Azizah tidak pernah kelihatan letih atau kedengaran merungut walaupun telah memasak di tiga atau empat PPS dalam sehari.

‘Kekuatan luar biasa’ yang dimiliki oleh baginda itu menyebabkan rakan-rakan rapat Tunku Azizah sering berseloroh dengan menyifatkan semangat baginda itu seperti bateri energizer atau ‘mempunyai tenaga solar selepas matahari terbenam’ kerana tidak pernah mengenal letih.

“Jika ada pertandingan memasak kotak misteri, Tunku Azizah pasti menang kerana baginda pasti boleh menghasilkan juadah yang enak… disebabkan baginda juga, saya kini boleh memasak hampir 100 resepi hanya menggunakan ikan sardin dan kobis,” katanya merujuk kepada dua bahan yang sering ada di PPS.

Tunku Azizah juga menurut Tan, amat prihatin dengan mereka yang akan disajikan juadah masakan baginda, seperti sering berpesan supaya masakan di PPS tidak terlalu pedas kerana ada anak kecil selain jangan bersantan bagi membolehkan makanan tahan lama dan rakyat boleh kerap mengulang makan.

Malah, Tan berkata baginda juga amat jarang beradu dalam kereta sebaliknya masih memastikan dirinya tetap aktif, sama ada mengait, menulis, melakukan crochet atau bermain ‘Candy Crush’, dan baginda tidak pernah hilang tumpuan walaupun melakukan aktiviti itu sambil berborak!

“Jika ditanya bila ‘me-time’ Tuanku, saya sendiri tidak tahu bila kerana kebanyakan masa ada sahaja yang hendak dilakukan. Saya sendiri lelah jika melihat aktiviti baginda tapi yang pasti saya belajar menjadi lebih baik kerana baginda.

“Semasa di awal saya mengikut baginda, pernah kami ke sebuah perkampungan dan saya tahu baginda dapat lihat keadaan lantai yang agak kotor, namun baginda tetap menghormati jemputan dan membuka kasut untuk masuk dan sudah pasti saya perlu masuk juga.

“Apabila saya melihat Tuanku memandang ke arah lain, saya mengesat kaki dengan kain baju kurung menyebabkan saya ditegur di dalam kereta. Rupanya baginda perasan dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak baik dan memalukan baginda.

“Baginda berpesan kita perlu menjaga hati dan perasaan orang, lebih-lebih lagi tuan rumah. Begitu juga semasa kami ke kawasan yang agak banyak lalat. Tuanku tetap menjamah juadah dan tidak pernah cerewet walaupun hanya nasi dan ayam sahaja,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :