Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ceria bersama kain tenun ‘Bauksit’ yang diilhamkan oleh baginda ketika berkenan melawat Bengkel Tenun Pahang Diraja Penjara Penor hari ini. Banduan Penjara Penor yang bekerja di Bengkel Tenun Pahang Diraja Penjara Penor diberi tanggungjawab bagi menghasilkan kain tenun untuk pakaian Raja Permaisuri sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara pada 31 Julai 2019. Foto BERNAMA
NASIONAL

Permaisuri Agong titip nasihat kepada bekas banduan

PEKAN, 14 JULAI: “Tuanku permaisuri menasihatkan saya supaya menjaga rumahtangga, jaga isteri dan kelakuan. Jangan ulang kesilapan lama kerana ini peluang kedua saya untuk membaiki diri”.

Itu kata bekas penghuni Penjara Penor di sini, dikenali sebagai Mat Ngek, 40, yang menerima ucapan tahniah daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah berkenan menzahirkan ucapan itu semasa bertemu Mat Ngek yang baru melangsungkan perkahwinan semalam, dan isteri, Leha, 54, semasa mencemar duli melawat Pusat Tenun Pahang Diraja, Kampung Budaya Pulau Keladi di sini hari ini, tempat Mat Ngek bekerja.

“Tuanku juga berkenan berjumpa dengan isteri yang datang menemani saya hari ini. Baginda juga berkenan menyampaikan kurniaan kepada kami dan memberikan nasihat kepada kami untuk sabar melayari ujian berumahtangga.

“Baginda berpesan supaya isteri jangan mudah cemburu kerana di sini pekerjanya ramai wanita. Jasa tuanku dengan saya begitu banyak… sejak dari dalam penjara lagi kerana kemahiran menenun dipelajari di Penjara Penor,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mat Ngek dan Leha melangsungkan perkahwinan di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan dekat sini, setelah sebulan berkenalan di laman sosial Facebook sekitar hujung Mei lalu.

Anak jati Kuala Berang, Terengganu itu berkata dia mula bekerja di pusat tenun itu pada Februari lepas, selepas tamat menjalani hukuman penjara sejak 2012 kerana menyamun.

“Raja Permaisuri Agong menawarkan kerja kepada saya dan memang kebiasaan baginda berbuat demikian kepada bantuan yang baru dibebaskan. Mungkin kerana kami sudah mempunyai kemahiran selain baginda tahu mutu hasil kerja kami.

“Saya sendiri pernah menenun persalinan untuk perkahwinan anakanda saudara Tunku Azizah, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, persalinan bersiram bagi istiadat pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selain beberapa majlis negara.

“Bagaimanapun, orang sukar untuk percaya kerana status saya. Hendak mendapat kerja pun sukar, jadi lebih baik bekerja dengan Tunku Azizah. Secara tak langsung menjauhkan saya daripada perkara yang boleh menarik saya ke jalan lama,” katanya.

Mat Ngek berkata dia mengambil masa enam bulan untuk menguasai kemahiran menenun kerana ‘kosong’ dalam kraftangan itu semasa mula-mula menjejak kaki ke penjara.

Dia mengakui senang bekerja dengan Tunku Azizah kerana keperibadian baginda yang sering memberi semangat kepada banduan untuk membaiki diri dan tidak pernah sesekali memandang rendah kepada mereka.

“Baginda juga pemurah dan sering membawa makanan kepada kami. Ada masanya baginda menjamu kami dengan juadah yang dimasak sendiri selain menjadi kelaziman untuk baginda bertanya kepada kami jika ada makanan yang kami mahu,” katanya.

Terdahulu, Tunku Azizah berkenan mencemar duli ke Bengkel Tenun Pahang Diraja di Penjara Penor di sini, untuk menziarah hampir 60 banduan di situ yang kesemuanya kelihatan teruja menyambut ketibaan baginda.

Baginda yang ditemani puteri sulung Sultan Terengganu, Tengku Nadhirah Zahrah Tuanku Mizan, meluangkan masa selama hampir dua jam di situ untuk meninjau proses penghasilan kain tersebut.

Baginda juga dilihat meneliti hasil kerja dan menasihatkan seorang banduan yang baharu sebulan dibenarkan mengendalikan ‘kek’ (alat tenun) yang dilihat agak gementar kerana beberapa benang yang ditenunnya putus.

“Awak baharu ya? Belajar elok-elok. Banyakkan belajar supaya benang tak putus lagi,” titah baginda.

-BERNAMA


Pengarang :