NASIONAL

Permintaan domestik bantu lonjak pertumbuhan ekonomi negara

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JULAI: Permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun Malaysia menerima kesan perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan akan terus berusaha menjana pertumbuhan ekonomi domestik terutama dalam mempromosikan aktiviti pelaburan dan permintaan penggunaan.

“Kesan daripada tindakan AS mengenakan tarif ke atas China, pelabur dari China beralih operasi perniagaan ke Asia Tenggara yang akan menguntungkan ekonomi Malaysia.

“Perang perdagangan membuka ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport komoditi ke China terutama minyak sawit yang merupakan barangan pengganti kepada minyak soya dan jagung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang Hashim dalam soalannya bertanyakan kesan ke atas ekonomi Malaysia ekoran risiko ketidaktentuan persekitaran global khususnya antara AS dan China mutakhir ini.

Mohamed Azmin berkata, syarikat Malaysia berjaya menandatangani perjanjian bernilai hampir AS$900 juta bagi membekal 1.62 juta tan minyak sawit ke China, pada Mac 2019.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat hampir 255,000 tan dengan nilai eksport RM1.4 bilion dalam tempoh Januari hingga April 2019,.

Selain itu, kerajaan yakin kerjasama serantau Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia Philippines East ASEAN Growth Area (BIMPEAGA) melalui BIMP-EAGA Vision 2025 (BEV2025) serta Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle (IMT-GT) berupaya memastikan Malaysia kekal di landasan pertumbuhan ekonomi yang positif ke arah negara maju.


Pengarang :