NASIONAL

Perodua minta pelanggan waspada maklumat palsu produk atas talian

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meminta pelanggan untuk berhati-hati dalam memberi maklum balas terhadap sebarang paparan di media sosial atau mana-mana platform komunikasi dalam talian lain yang mendakwa sebagai penasihat jualan Perodua.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin berkata mereka juga perlu berwaspada terhadap sebarang penawaran pembayaran tanpa pendahuluan semasa menempah kenderaan yang ditawarkan.

Beliau turut menasihatkan para pelanggan supaya mengunjungi sendiri cawangan jualan Perodua yang berdekatan dan bercakap sendiri dengan penasihat jualan yang sah, kerana mereka (penasihat jualan) akan memberikan maklumat yang tepat dan terkini.

“Pelanggan diharapkan tidak membuat sebarang pembayaran kepada mana-mana akaun individu. Semua pembayaran mesti dibuat kepada Perodua Sales Sdn Bhd atau wakil pengedar yang sah sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak terlibat dalam mana-mana promosi penjenamaan dengan jenama automotif lain serta tidak berkongsi penasihat jualan yang sama.

“Jika pelanggan ada melihat mana-mana paparan atau mesej seumpama itu, mereka dinasihatkan untuk mengabaikannya serta merta.

“Pelanggan yang meragui kesahihan profil individu yang mendakwa dirinya merupakan penasihat jualan Perodua, boleh menyemaknya dengan menghubungi Pusat Panggilan Perodua di talian 1-800-88-6600 dari Isnin hingga Jumaat antara pukul 8.30 pagi dan 5.30 petang,” katanya.

Maklumat mengenai produk, perkhidmatan dan promosi boleh didapati di www.perodua.com.my atau mana-mana platform media sosial rasmi Perodua. – BERNAMA


Pengarang :