AGENDANASIONAL

Persatuan belia ada masa sehingga 2024 sesuai diri had umur baharu

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Persatuan dan majlis belia di negara ini mempunyai masa sehingga 2024 untuk menyesuaikan diri dengan transisi had umur belia baharu seperti yang diputuskan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, had umur baharu itu hanya akan diwartakan pada akhir 2021, justeru kesemua persatuan dan majlis belia mempunyai masa sekurang-kurangnya tiga tahun selepas itu untuk melaksanakan persediaan sebelum pemilihan persatuan masing-masing diadakan.

Beliau berkata, persediaan kepada transisi berkenaan merupakan keutamaannya dan beliau akan terus berjumpa dengan persatuan dan majlis belia yang ada untuk terus berbincang mengenai perkara itu.

“Saya rasa dalam bab ini kita perlu terus melangkah ke hadapan sambil terus berbincang dengan kumpulan-kumpulan sedia ada supaya mereka memahami kenapa kerajaan melaksanakan dasar ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Dewan Rakyat pada 3 Julai lepas, meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang antara lain menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. – BERNAMA


Pengarang :