NASIONAL

Pertemuan dengan pemegang taruh kongsi maklumat subsidi

JITRA, 12 JUL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh dan agensi media bagi menyampaikan maklumat berkaitan pelaksanaan subsidi petrol bersasar sebelum ia diperkenalkan tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara pemegang taruh itu ialah persatuan pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Penglibatan pemegang taruh ini telah dibuat dan sesi penerangan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa. Kita sangat komited untuk sampaikan maklumat kepada mereka.

“Contohnya, sebelum ini kita berjumpa dengan senior editor agensi media di mana tujuan perjumpaan itu adalah supaya rakyat negara dapat memperoleh maklumat terkini, tepat dan sahih berkaitan pelaksanaan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan subsidi petrol bersasar di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak media juga diharap dapat memainkan peranan membantu memberi penerangan kepada rakyat apabila pelaksanaan subsidi bersasar itu diperkenalkan kelak.

Sesi penerangan kepada golongan sasar juga akan dimulakan dalam masa terdekat sebaik sahaja kertas kabinet berkaitan perkara itu diluluskan jemaah menteri.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kewangan dalam proses menyediakan kertas itu dengan menumpukan kepada keperluan dan cadangan yang menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan itu dapat memberi manfaat kepada golongan sasar.

“Pelaksanaan subsidi bersasar ini sepatutnya sudah dimulakan pada suku kedua tahun ini tetapi kita sedikit lewat tetapi ingin dimaklumkan bahawa matlamat kementerian adalah bagi memastikan pelaksanaan pemberian subsidi ini kelak menyeluruh dan hanya mempunyai kecacatan yang minimum,” katanya.

Ditanya mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR menyifatkan ia bukan ancaman besar Pakatan Harapan (PH).

“Tahniah kepada dia (Najib) atas pelantikan itu dan tahniah juga kepada BN kerana melihat beliau masih aset penting kepada parti.

“Pelantikan itu proses biasa dan ia bukan satu ancaman besar kepada PH dan saya rasa politik Malaysia akan jadi lebih meriah selepas ini dan kita akan bersaing dalam suasana politik yang sihat,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution melancarkan penjualan bahan api Infiniti Euro-5 Diesel di stesen minyak BH Petrol Jitra. – BERNAMA


Pengarang :