SELANGOR

Peruntukan RM750,000 bagi Geran Kecil Alam Sekitar, Teknologi Hijau

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 JUL: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM750,000 bagi Geran Kecil Teknologi Hijau dan Alam Sekitar kepada 109 persatuan serta organisasi dari seluruh Selangor.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, daripada jumlah itu sebanyak 55 persatuan menerima Geran Kecil Alam Sekitar sementara 54 lagi menerima Geran Kecil Teknologi Hijau.

Katanya, geran terbabit akan membiayai projek berkaitan konservasi alam sekitar dan penggunaan teknologi hijau.

“Antara projek yang boleh dilaksanakan adalah penanaman pokok, kitar semula sisa, pendidikan alam sekitar, pemuliharaan air, penjimatan tenaga serta pendidikan dan kesedaran komuniti tentang perubahan iklim.

“Semoga persatuan yang menerima geran ini dapat memanfaatkan sebaik-baiknya dan melaksanakan program serta projek yang memberi impak tinggi terhadap masyarakat juga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor 2019 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Unit Perancang Ekonomi Selangor, Marianie Abdul Rahman.

Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor mula dilaksanakan pada tahun lalu dan mendapat sambutan amat menggalakkan.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, ekoran sambutan yang amat menggalakkan pada tahun lalu, Kerajaan Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Teknologi Hijau telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian geran itu pada tahun ini.

Katanya, objektif utama adalah bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau di dalam kehidupan seharian rakyat di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menangani masalah sekitar seperti pemanasan global, pencemaran udara, pencemaran air, banjir kilat serta kepupusan flora dan fauna yang semakin mendapat perhatian masyarakat.

“Selain itu, kesedaran mengenai kepentingan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan masyarakat perlu teknologi dipertingkatkan dari masa ke semasa ke arah penggunaan tenaga yang lebih cekap, mesra alam dan boleh diperbaharui,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :