NASIONAL

PH perlu menang 30 kerusi parlimen Melayu

TUMPAT, 13 JUL : Pakatan Harapan (PH) perlu memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen di kawasan majoriti orang Melayu agar bagi mengimbangi kerusi antara kaum, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Mohamad berkata ia penting agar tuduhan yang dilemparkan beberapa pihak bahawa kerajaan Persekutuan kini hanya dikuasai oleh satu kaum sahaja dapat ditepis.

“Sekarang kerajaan dituduh (diperintah oleh) majoriti satu kaum (sahaja) jadi lebih harmoni kalau dapat ditambah 30 (kerusi majoriti orang Melayu) ke atas.

“Insya-Allah ada harapan ke arah itu tambahan pula perpindahan ahli kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang semakin ketara ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Tumpat kali ke-4 di Dewan Kompleks Perpaduan, Terbak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Amanah kawasan Tumpat Wan Mohd Johari Wan Omar.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata justeru rakan komponen PH yang berteraskan orang Melayu perlu bekerja keras terutama di kawasan pantai timur dan utara tanah air dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

“Yang kita yang belum banyak lagi menang terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa (kawasan) di Kedah. Jadi di sini perlu Amanah, Bersatu dan Keadilan perlu tambah kerusi mereka. DAP dah menang hampir kesemua (kerusi Parlimen) yang diperuntukkan kepada mereka,” katanya.

Ditanya mengenai pendapat Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa yang mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Perdana Menteri selepas ini, Mohamad berkata ia merupakan pendapat peribadi beliau.

“Itu pandangan peribadi dia, kita tak ada masalah. Sesiapa saja boleh keluarkan pandangan… itu hak masing-masing untuk bercakap,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :