Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam. Foto BERNAMA
SUKANKINI

Piala FA: FAM ada hasrat guna pengadil import

PETALING JAYA, 3 JUL: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menafikan dakwaan bahawa badan induk itu tidak melakukan usaha untuk membawa pengadil profesional dari luar negara bagi mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM telah mengambil langkah awal dengan menghantar surat permohonan kepada tiga negara – Jepun, Australia dan Thailand – pada Mei lepas, untuk melihat potensi dan tahap ketersediaan pengadil di ketiga-tiga negara berkenaan.

Beliau berkata hanya set pengadil memiliki kualiti pengadilan terbaik dalam kalangan tiga negara itu akan dipilih bagi mengendalikan perlawanan akhir tersebut.

“Saya nafikan FAM belum ada usaha membawa pengadil dari luar untuk final Piala FA nanti. FAM sudah berkomunikasi dan menghantar permohonan kepada tiga negara untuk memastikan kemungkinan ada pengadil dari luar negara bagi final Piala FA.

“Tetapi FAM belum menerima maklum balas dari ketiga-tiga negara tersebut sebab mereka (badan induk bola sepak negara terlibat) mungkin belum memutuskan pengadil mana untuk disenarai memandangkan saingan liga masih berjalan di negara-negara itu,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2019, mengesahkan khidmat pengadil profesional luar negara tidak akan digunakan pada aksi final tersebut.

Mengulas lanjut, Stuart menegaskan FAM akan memastikan pengadil dipilih itu memiliki kelayakan terbaik dalam usaha memenuhi hasrat peminat bola sepak tanah air yang ingin melihat tahap mutu pengadilan berkualiti dalam sesebuah perlawanan berintensiti tinggi di negara ini.

“Kita mahukan pengadil dipanggil itu nanti, boleh menyumbang sesuatu yang positif kepada final Piala FA tersebut. Kita tidak akan terima nama sahaja tanpa buat penilaian terperinci dan persetujuan mengenai tahap kualiti pengadil berkenaan.

“Tidak semestinya apabila bercakap pasal pengadil di Jepun, Australia dan Thailand, mereka (tiga negara) semua terbaik dan mempunyai kelebihan daripada pengadil tempatan,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Md Dali Wahid berkata pengumuman dibuat Mohd Shazli itu berpunca daripada salah faham.

“Ketika mesyuarat semalam, kita belum menerima jawapan dari ketiga-tiga negara itu, jadi mungkin sebab itu timbulnya salah faham tersebut,” jelasnya. – BERNAMA


Pengarang :