KUALA LUMPUR, 2 Julai — Ketua Pegawai Operasi Malaysian Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd (tengah) ketika sidang media pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Turut sama Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah Shahrul Samsudin (kiri) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak Tajul Hasnan Omar. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

Piala FA: Khidmat pengadil luar negara tidak digunakan

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Hasrat peminat bola sepak tanah air untuk menikmati perlawanan berintensiti tinggi final Piala FA 2019 membabitkan pasukan Perak dan Kedah seiring dengan mutu pengadilan berkualiti tidak kesampaian.

Ia selepas Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd hari ini mengesahkan khidmat pengadil tempatan akan digunakan bagi aksi final tersebut yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai.

Menurut beliau, usaha untuk membawa pengadil profesional dari luar bagi mengadili perlawanan akhir merupakan antara agenda utama dalam meningkatkan kualiti perlawanan, namun ia tidak dapat dilaksanakan bagi final Piala FA yang memasuki edisi ke-30.

“Saya ada bertanya kepada wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai potensi membawa pengadil dari luar dan jawapannya tiada. Usaha membawa pengadil profesional itu memang ada tetapi untuk Piala FA kali ini tidak dan perkara itu telah disahkan mereka (unit pengadil FAM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Sebagai rekod, pengadil tempatan J.Suresh yang mengendalikan final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu FC (TFC) dan Perak, dianggap peminat bola sepak tanah air sebagai pengadil terburuk dalam sejarah pengadilan trofi berprestij itu.

Beberapa keputusan kontroversi dibuat Suresh termasuk membatalkan dua jaringan dan layangan dua kad merah pada perlawanan itu menyaksikan integriti beliau dipersoalkan.

Turut membidas pengadil berkenaan adalah Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim sambil menyuarakan pandangan baginda bahawa tepat pada masanya untuk MFL menggunakan khidmat pengadil luar negara mengendalikan perlawanan bola sepak berintensiti tinggi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Bagaimanapun, Tunku Ismail dipetik sebagai bertitah keputusan untuk tidak menggunakan pengadil luar negara disebabkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh tidak bersetuju.

“Subkhiddin berkata ia seperti memperkecilkan pengadil tempatan. Itu bukan sebabnya. Ini adalah kerana kita perlukan bantuan, anda boleh membaca artikel MFL sebelum ini,” titah Tunku Ismail. – BERNAMA


Pengarang :