SUKANKINI

Piala Sultan Selangor 2019 sasar kehadiran lebih 70,000 peminat

SHAH ALAM, 17 JULAI: Lebih 70,000 peminat bola sepak tanah air dijangka membanjiri Stadium Shah Alam bagi menyaksikan pertembungan dua musuh tradisi bola sepak, Selangor dan Singapura sempena Piala Sultan Selangor (TSSC) 2019, pada 24 Ogos ini.

Pengerusi dan Pengurus TSSC, Tan Sri Dato’ Abd Karim Munisar berkata, pihaknya akan menjelajah ke beberapa Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor sebagai rangka publisiti selain mempergiat kempen kepada orang awam menjelang perlawanan yang berbaki sebulan lagi.

“Jelajah promosi akan mengambil masa selama seminggu. Bermula hari ini di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan esok kita ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya seterusnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Klang serta Majlis Perbandaran Selayang.

“Kita juga akan mengadakan perjumpaan dengan semua kelab dan persatuan penyokong pada Sabtu (27 Julai) termasuk menjalankan kempen terbesar di SACC Mall bersama orang awam pada 3 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tiket Perlawanan Bola Sepak sempena TSSC 2019, di Auditorium MBSA, di sini, hari ini.

Di samping tumpuan terarah kepada sasaran Selangor menjulang trofi berprestij itu, Abd Karim berkata, acara sampingan lain turut disediakan bagi menarik minat penonton untuk melihat sendiri kehandalan pemain veteran yang masih memiliki bisa tersendiri.

“Penonton bakal dihiburkan dengan persembahan Raja Pop tanah air, Datuk Jamal Abdillah termasuk penampilan beberapa artis lain.

“Tiga cabutan bertuah istimewa berupa sebuah kereta Honda City, motosikal model Harley Davidson dan penginapan di Hotel Marriott Kota Kinabalu untuk tiga pasangan juga menjadi rebutan,” katanya.

Tiket perlawanan membabitkan saingan kategori sekolah bawah 16 tahun, veteran dan Piliham Selangor-Singapura akan mula dijual pada minggu ini dengan harga serendah RM10 di beberapa lokasi yang akan dinyatakan kelak.

Perlawanan bagi kategori sekolah dijadual bermula seawal 5.30 petang diikuti veteran pada 7.50 malam dan perlawanan utama pada jam 9 malam.

Tahun lalu, skuad Pilihan Selangor menjulang trofi berprestij Piala Sultan Selangor selepas kali terakhir memenanginya pada 2014, manakala Pilihan Singapura menjuarai piala ini sebanyak tujuh kali berturut-turut.


Pengarang :