AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Piala Sultan Selangor tawar Harley Davidson, Honda City

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 JUL: Peminat bola sepak yang hadir menyaksikan kejuaraan Piala Sultan Selangor 2019 berpeluang membawa pulang hadiah istimewa motorsikal Harley Davidson dan kereta Honda City.

Perlawananan edisi ke-18 yang diadakan pada 24 Ogos di Stadium Shah Alam itu turut menawarkan hadiah penginapan tiga hari dua malam di Hotel Marriott Kota Kinabalu, Sabah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Shaikh Munisar berkata, hadiah istimewa terbabit boleh dimenangi dalam acara cabutan bertuah yang akan diadakan pada perlawanan itu.

“Dengan tiket berharga RM10 sahaja anda berpeluang memenangi hadiah istimewa dan menikmati perlawanan dua musuh utama bola sepak Selangor dan Singapura.

“Istimewanya kejohanan ini, ia satu kejohanan ala karnival kerana anda bukan sahaja dapat menonton perlawanan bola sepak tetapi juga ada persembahan artis antaranya Datuk Jamal Abdillah, pertunjukan laser dan bunga api serta persembahan istimewa pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tiket Piala Sultan Selangor 2019 Kepada Kelab Penyokong di SACC Mall di sini, hari ini.

Pada majlis itu dianggarkan kira-kira 15,000 tiket diperuntukan kepada kelab-kelab penyokong di seluruh Selangor.

Selain kelab penyokong, Yayasan Islam Darul Ehsan turut menerima 500 tiket untuk diserahkan kepada organisasi anak yatim di Selangor.

Menyentuh peluang Selangor pada edisi kali ini, Abd Karim berkata, beliau yakin Selangor mampu mengekalkan tiga kejuaraan yang dimenangi pada edisi lepas iaitu Piala Utama, Piala Veteran dan Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor Bawah 16 Tahun.

Terdahulu, SACC Mall digegarkan dengan deruman lebih 20 motorsikal Harley Davidson yang memeriahkan majlis.


Pengarang :