BERITA UTAMANASIONAL

Pindaan Perlembagaan: Tun M sambut baik sokongan sebulat suara

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut baik sokongan melebihi sasaran dua pertiga ahli Dewan Rakyat dalam meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Beliau berkata, ia adalah era baharu yang memperlihatkan tindakan kerajaan turut diberi perhatian oleh parti lawan, selain ia kali pertama di bawah kerajaan baharu suatu undang-undang itu diluluskan dengan persetujuan semua pihak.

“Memang ada yang kata kenapa tidak dari dahulu pada zaman saya jadi Perdana Menteri pun tak teringat nak turunkan umur mengundi kepada 18 tahun, sebelum daripada saya ambil alih ni juga tak berlaku.

“…tetapi kali ini ia berlaku dengan sokongan daripada semua, tiada satupun yang menolak…100 peratus daripada mereka yang hadir dan jauh lebih tinggi dari sokongan dua pertiga yang kita perlukan supaya Perlembagaan dapat dipinda,” katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Parlimen, hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pembangkang yang telah membuktikan janji mereka untuk menyokong pindaan itu.

Dr Mahathir berkata kelulusan pindaan itu, yang bersifat bipartisan adalah pencapaian untuk rakyat dalam memilih wakil rakyat mereka.

“Ia menunjukkan kematangan rakyat Malaysia kerana yang pertama apabila ada peralihan kerajaan, tidak ada rusuhan atau violence of any kind. It was a very smooth change of the government (sebarang keganasan. Ia perubahan kerajaan yang amat lancar),” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media sama berkata, kemenangan hari ini adalah milik anak muda yang mahukan suara mereka lebih didengari di dalam dan luar Parlimen, selain isu yang dihadapi oleh golongan itu dapat diperjuangkan dengan lebih serius.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata: “Saya berharap bipartisanship ini akan diteruskan. Dalam politik memang kita akan berbeza pendapat tetapi ia tidak bermaksud kita bermusuhan sampai tidak boleh bekerjasama demi agenda rakyat.

“Sebab itu saya kena ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua… Alhamdulillah akhirnya kita dapat laksanakannya bersama,” katanya.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata, tiada ahli Parlimen yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam reaksinya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata blok pembangkang telah menunaikan janji untuk memberi sokongan kepada pindaan RUU itu.

“Itu pengiktirafan kepada golongan muda yang diyakini kemampuan mereka berfikir bagi menentukan kerajaan dan kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, meningkatkan tahap kesedaran generasi muda terhadap tanggungjawab untuk mengundi serta politik negara menjadi perkara utama yang perlu diusaha.

Sementara itu, di blok kerajaan, Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pindaan RUU itu selari dengan apa yang hendak dicapai agar generasi muda menjadi corak warna masa hadapan negara.

“Dengan adanya hak mereka bukan hanya untuk mengundi, bahkan dengan menjadi calon, sudah pasti kita perlu menyokong penuh. Saya yakin 18 tahun ialah jangka usia yang tepat untuk membolehkan hak mereka dapat kita tunaikan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :