SELANGOR

PKNS bina 157,000 kediaman sejak 1964, jadi contoh PKEN lain

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah membina lebih 157,000 unit kediaman sejak 1964 menerusi pelbagai projek, penswastaan dan rancangan daerah dengan meliputi kediaman kos rendah, sederhana serta tinggi.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron berkata, PKNS juga menjadi contoh kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) lain ekoran sumbangannya kepada Kerajaan Negeri dan rakyat.

“Hasil daripada pengalaman diperoleh menerusi pembangunan projek yang dilaksanakan, PKNS hari ini berjaya menjadi peneraju industri pembangunan hartanah dan menjadi contoh di kalangan PKEN lain di Malaysia.

“PKNS bukan sahaja dikenali sebagai entiti pemaju hartanah tetapi lebih daripada itu, bila mana PKNS juga berperanan sebagai pemacu bagi pembangunan komuniti di kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2019 di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Nor Azmie berkata, selain PKNS, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Johor (PKENJ) adalah sebuah lagi PKEN yang banyak menyumbang kepada ekonomi negeri masing-masing.

Katanya, PKNS juga memainkan peranan besar dalam membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat tempatan.

Nor Azmie berkata, pada masa ini PKNS juga sedang rancak membina Rumah Selangorku Idaman PKNS di serata Selangor di mana lebih 2,000 unit rumah mampu milik ditawarkan buat rakyat negeri ini yang berkelayakan.

“Pelaksaan projek perumahan oleh PKNS sama ada jenis kos rendah atau sederhana telah memberikan peluang kepada rakyat Selangor untuk memiliki kediaman sendiri yang selesa dan berkualiti.

“Dari bandar besar seperti Shah Alam, Kota Damansara dan Bangi sehingga ke kawasan luar bandar seperti Hulu Bernam, Kota Puteri dan Antara Gapi serta yang terbaharu pembangunan Smart City di Selangor Cyber Valley, PKNS telah berjaya menjadi pemangkin kemajuan di negeri ini dengan pembangunan rumah kediaman juga pusat perniagaan komersial bukan sahaja mampu milik malah berkualiti tinggi,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :