Selangorkini
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS-Maybank sedia pinjaman rumah 100 peratus

SHAH ALAM, 27 JUL: Orang ramai kini berpeluang membeli rumah dengan lebih mudah apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Maybank menawarkan pinjaman 100 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, perjanjian kolaborasi itu adalah untuk pelaksanaan ‘Skim Smart Selangor First Home Buyer’.

 

“Skim yang diilhamkan Kerajaan Selangor ini adalah skim bantuan pinjaman bagi memudahkan rakyat Selangor yang menyaksikan Maybank akan menyediakan pembiayaan sebanyak 90 peratus.

“Manakala, Kerajaan Negeri akan memberi bantuan pembiayaan sebanyak 10 peratus dan PKNS dilantik menjadi agensi pelaksana skim berkenaan.

“Skim ini adalah insentif pembiayaan pinjaman 100 peratus pada kadar faedah yang rendah untuk lapan tahun pertama. Ini akan memudahkan pembeli untuk mendapatkan pinjaman, seterusnya memiliki rumah idaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Azizi turut menyerahkan replika ‘Skim Smart Selangor First Home Buyer’ kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman sebagai simbolik kerjasama.

Hadir sama, pegawai kanan PKNS termasuk Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan, Ketua Pegawai Kewangan, Nor Azlina Amran dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Pada pameran sama, Maybank juga membuka kaunter khas untuk urusan perkhidmatan semakan kelayakan pinjaman perumahan buat para pengunjung yang hadir.

Mengulas lanjut Azizi berkata, skim berkenaan terbuka kepada pembeli Rumah Selangorku yang dibangunkan PKNS dan anak syarikat PKNS sahaja.

Projek itu termasuk di Selangor Cyber Valley, Antara Gapi, Kota Puteri, Klang dan Kampung Sri Temenggung Gombak.


Pengarang :