SELANGOR

PKNS rai 97 anak, anggota cemerlang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUL: Seramai 97 anak-anak anggota Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2018 anjuran Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja (PKP) dan Badan Islam PKNS, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, acara tradisi itu diadakan saban tahun bagi meraikan dan mengiktiraf kejayaan anggota serta anak anggota PKNS dalam peperiksaan diduduki setiap peringkat.

“Daripada jumlah ini, 16 penerima adalah mereka yang cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA/UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (empat), Sijil Pelajaran Malaysia (18) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (tiga).

“Selain itu, anugerah diberi kepada 15 penerima diploma, 19 penerima ijazah dan seorang pelajar yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

“Ia juga menyaksikan seramai 13 anggota PKNS yang menerima ijazah dan lapan penerima ijazah sarjana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan penyerahan anugerah sempena majlis berkenaan di Dewan Aster Ibu Pejabat PKNS di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua PKP PKNS, Lokman Abd Kadir dan Pengurus Kanan Hal Ehwal Tanah Wilayah Tengah, Ibrahim Surib.

Semua penerima diberi saguhati berupa wang tunai dan sijil dengan jumlah keseluruhan diperuntukkan PKP dan Badan Islam PKNS berjumlah RM34,060.

Mengulas lanjut, Mohd Azizi berkata, penganugerahan itu diharap dapat memberi suntikan semangat dan motivasi baharu kepada anggota meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mendorong anak masing-masing untuk turut sama belajar.

Katanya, pihaknya mahu melengkapkan warga kerja dengan kemahiran dan pengetahuan kukuh supaya mereka boleh menyumbang ke arah meningkatkan daya saing organisasi.

“Pendidikan adalah suatu usaha perlu dititikberatkan dalam masyarakat mahupun organisasi kerana pendidikan akan membantu membawa kita dalam perjalanan hidup.

“Oleh sebab itu, PKNS selalu mengutamakan aspek pembangunan modal insan kepada setiap anggota. Kita melatih pegawai supaya mereka menjadi pekerja cemerlang bagi membolehkan mereka melaksanakan kerja dengan baik,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :