AGENSISELANGOR

PKNS tawar diskaun RM5,500 sempena ulang tahun ke 55

SHAH ALAM, 27 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan diskaun berjumlah RM5,500 kepada 55 pembeli terawal sebagai simbolik ulang tahunnya yang ke 55, kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, tambah menarik apabila PKNS turut menawarkan kos guaman Perjanjian Jual Beli (SPA) dan duti setem Memorandum Pertukaran (MOT) secara percuma kepada bakal pembeli.

Katanya, tawaran itu dibuat sepanjang Pameran Koleksi Hartanah PKNS yang kini berlangsung di Atria Lagenda, Kompleks PKNS Shah Alam bermula dari 26 Julai hingga 4 Ogos depan.

“Ia adalah sebagai tanda penghargaan PKNS khas buat kesemua pelanggan yang menyokong kami sepanjang lima dekad ini.

“Jadi, rebut peluang ini dan cepat dapatkan rumah kediaman anda dari PKNS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, pameran koleksi hartanah diadakan secara berkala dan siri kedua untuk tahun ini turut menawarkan 2,500 unit rumah.

“Projek perumahan ditawarkan PKNS terdapat di pelbagai lokasi strategik antaranya Shah Alam, Antara Gapi, Bernam Jaya, Kota Puteri, Alam Nusantara, Selangor Cyber Valley dan sebagainya.

“Kematangan usia PKNS juga membuktikan pengalaman kami dalam menyediakan unit kediaman berkualiti dengan harga kompetitif dan berpatutan.

“Rekaan produk kami juga sentiasa segar mengikut citarasa kontemporari dan kehendak pelanggan masa kini,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :