SELANGOR

PKNS terima Anugerah Jenama Kepimpinan Perniagaan 2018-2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 JULAI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan kecemerlangan dalam industri hartanah apabila dipilih selaku penerima Anugerah Jenama Kepimpinan Perniagaan 2018-2019.

Anugerah itu diberikan World Brand Foundation (APBF) kepada PKNS dalam Majlis Anugerah Jenama Paling Cemerlang The BrandLaureate yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur, pada 27 Jun lalu.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, pengiktirafan itu kali kedua berturut-turut diterima PKNS daripada The BrandLaureate.

“Pengiktirafan ini membuktikan PKNS terus relevan dalam industri hartanah menginjak usia 55 tahun perbadanan ini ditubuhkan.

“Dengan anugerah ini, ia sedikit sebanyak memberikan motivasi kepada kami untuk bekerja lebih keras dan memberikan yang terbaik kepada pelanggan pada masa akan datang,” katanya.

Acara berprestij dengan tema ‘To Be Heard’ (untuk didengari) itu dihadiri 1,000 tetamu antaranya agensi kerajaan, pemimpin antarabangsa, pemilik syarikat dan personaliti terkenal.

Berdasarkan rekod, PKNS pernah menerima pengiktirafan The BrandLaureate Industry Champion Brand Brand Award bagi kategori Business and Community Leadership Leadership Award 2017-2018.


Pengarang :