AGENDANASIONAL

PM: 2020 masih istimewa bagi rakyat Malaysia

SEPANG, 22 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini 2020 masih merupakan tahun istimewa bagi rakyat Malaysia walaupun negara tidak mencapai wawasan untuk menjadi negara maju.

“Ia tidak akan menjadi kemuncak sasaran kita untuk menjadi negara maju tetapi sekurang-kurangnya Tourism Malaysia menunjukkan bahawa kita akan meraikan 2020 juga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Logo Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Oleh itu, Dr Mahathir berkata setiap warga Malaysia perlu membantu dalam mengalu-alukan pelancong dengan layanan mesra, senyum sepanjang masa dan cuba menyelesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi mereka.

“Antara perkara yang menarik perhatian pelancong ialah tuan rumah yang mesra, sentiasa tersenyum, melayan mereka dengan baik, menunjukkan cara dan apa sahaja yang mereka ingin tahu tentang Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia telah berjaya dalam industri pelancongan meskipun tidak mempunyai banyak tapak bersejarah atau piramid.

“Industri pelancongan Malaysia terus berkembang. Sejak 1990 hingga 1994, semasa saya melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia, kita sudah menyedari bahawa pelancongan akan menjadi faktor penting dalam ekonomi negara.

“Hari ini, selepas hampir tiga dekad, apa yang kita jangkakan ketika itu, menjadi kenyataan, malah lebih lagi. Kedatangan pelancong meningkat dan Malaysia benar-benar menjadi popular dan mampu bersaing dengan destinasi dunia yang lain,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata Kuala Lumpur berada dalam kedudukan kesembilan dalam senarai bandar raya yang paling dilawati pada 2017 menurut laporan ‘Top 100 City Destinations 2018’.

“Oleh itu, ia adalah suatu yang boleh kita banggakan dan harus memberi motivasi kepada kita untuk menggandakan usaha promosi mengenai Malaysia pada masa depan,” katanya.

Ditanya mengapa Malaysia agak lambat dalam mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 berbanding negara lain, Dr Mahathir berkata: “Benda macam ini berlaku selalu, kita boleh rancang tapi Tuhan yang menentukan. Kalau masa tidak baik, lambat sikit. Kalau masa baik, lebih awal lagi.”

Mengenai kerjasama dengan Sharp untuk mempromosi Malaysia, Dr Mahathir berkata Sharp merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia.

“Sharp mengeluarkan lebih dua juta televisyen di Malaysia untuk eksport ke seluruh dunia. Malaysia adalah negara yang mesra untuk mereka melabur di sini dan oleh itu, mereka menyertai kita dalam mempromosikan Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa Sharp, sebagai jenama Jepun, akan membantu mempromosikan Malaysia terutama di Jepun.

Selain pelancong Jepun, Dr Mahathir berkata pelancong China akan menjadi pelancong teramai yang datang ke Malaysia dengan sasaran lebih tiga juta tahun ini.

Semasa ditanya mengenai program yang disediakan untuk menyambut Tahun Pelancongan Kebudayaan Malaysia-China 2020, Dr Mahathir berkata China telah dan akan menjadi negara yang penting kepada Malaysia.

“Kita telah berdagang dengan China selama 2,000 tahun dan kini tentunya China merupakan rakan dagang terbesar kita. Kita akan melakukan segala yang mungkin untuk menjadikan Malaysia popular di China dan menarik pelancong China ke Malaysia,” katanya.

Selain itu, Malaysia baru-baru ini memperluaskan kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) di 13 pintu masuk untuk melancarkan kemasukan pelancong warga China dan India, dua pasaran pelancong yang pantas berkembang di dunia.

Semasa ditanya mengenai kumpulan tertentu yang selalu memprotes konsert-konsert tertentu yang diadakan di negara ini, Dr Mahathir berkata mereka hanya suara minoriti, dan tidak mewakili majoriti.

“Mereka yang memprotes adalah minoriti, saya fikir kita harus memikirkan majoriti tetapi majoriti juga mesti bersuara supaya mereka didengar…supaya tidak dilihat kita menolak suara rakyat.

“Ia bukan suara rakyat, hanya sekumpulan aktivis yang cuba menunjukkan mereka adalah majoriti di Malaysia, tetapi mereka tidak,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :