ANKARA, 25 Julai — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan singkat bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga bagi lawatan rasmi beliau ke Turki. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMA

PM tiba di Turki bagi lawatan rasmi

ANKARA, 25 JULAI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini untuk lawatan rasmi empat hari ke Turki.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada 7.45 malam waktu tempatan (12.45 pagi Khamis waktu Malaysia).

Beliau disambut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab, Menteri Industri dan Teknologi Turki Mustafa Varank serta Gabenor Ankara Vasip Sahin.

Kira-kira 15 minit kemudian, pesawat khas yang membawa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tiba di lapangan terbang sama, dan kedua-kedua pemimpin kemudiannya mengadakan pertemuan singkat di bilik VVIP.

Dr Mahathir mempunyai jadual padat semasa di Turki, dengan pelbagai mesyuarat dan temu bual bersama media di sini dan Istanbul; bermula dengan upacara meletakkan kalungan bunga di makam Mustafa Kamal Ataturk, pengasas dan Presiden pertama Turki, di Anitkabir di sini pada Khamis.

Selepas itu, Dr Mahathir akan melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), yang merupakan pusat teknologi Turki dalam aspek reka bentuk, pembangunan, pemodenan, pembuatan, integrasi dan sokongan kitaran hayat sistem aeroangkasa bersepadu; merangkumi platform udara sayap tetap dan sayap berputar; serta UAV dan satelit.

Pada hari sama, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Kompleks Presiden di sini, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Turki.

Selepas Ankara, Dr Mahathir akan terbang ke Istanbul pada pagi Jumaat.

Pesawat yang membawa beliau akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, lapangan terbang yang diurus dan ditadbir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad, dan Perdana Menteri akan dibawa meninjau lapangan terbang berkenaan.

Pada hari sama juga, Dr Mahathir akan menghadiri perbincangan Meja Bulat Peneraju Industri membabitkan kira-kira 35 syarikat utama Turki, dan kemudian menghadiri majlis jamuan teh dengan diaspora Malaysia di Turki.

Semasa lawatan, Perdana Menteri diiringi tiga menteri iaitu Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking.

Lawatan rasmi Dr Mahathir ke negara itu atas jemputan Presiden Turki bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin sejak 1964.

Turki adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.

Pada 2018, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan RM9.79 bilion. Eksport Malaysia ke Turki mencecah RM7.97 bilion sementara import dari Turki berjumlah RM1.82 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :