Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

PNSB sumbang RM100,000 suntik semangat skuad B-17 FAS

SHAH ALAM, 24 JUL: Pasukan bola sepak bawah 17 tahun Selangor terus mendapat suntikan semangat untuk beraksi pada Kejohanan Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2019 apabila menerima penajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebanyak RM100,000.

Cek sumbangan itu diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Dato’ Sri Ahmad Omar kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah, hari ini.

Penyerahan sumbangan diadakan selepas Majlis Perasmian Pusat Latihan dan Pejabat Baharu FAS di Padang Latihan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK), Seksyen 5 di sini.

Ahmad berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menaja pasukan bola sepak bawah 17 tahun di bawah pengurusan FAS itu.

“PNSB kekal komited untuk membantu pembangunan sukan bola sepak khususnya di Selangor dan penajaan ini adalah salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami.

“Kami akan sentiasa menyokong segala usaha untuk memajukan sukan bola sepak tanah air,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap melalui penajaan itu, skuad bola sepak berkenaan dapat memberikan saingan sengit, sekali gus menjuarai kejohanan terbabit.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :