AGENDANASIONAL

Polis ambil keterangan Orang Asli halang aktiviti pembalakan

IPOH, 20 JUL : Polis mengambil keterangan daripada tiga Orang Asli berhubung insiden kekecohan di kawasan pembalakan seluas 42 hektar di Kampung Papan, Gerik pada Khamis lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke Balai Polis Gerik pada 10 pagi tadi.

“Polis menerima laporan daripada pihak pembalakan yang mendakwa terdapat beberapa sekatan menggunakan kayu yang diletakkan di kawasan pembalakan dipercayai bagi menghalang aktiviti pembalakan dan laluan di kawasan itu pada Khamis lepas.

“Susulan itu, polis membawa ketiga-tiga Orang Asli berkenaan yang dipercayai menghasut orang lain supaya turut membuat sekatan, untuk diambil keterangan dan meredakan keadaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata difahamkan aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan itu mempunyai kelulusan daripada kerajaan negeri dan telah bermula sejak tahun lalu.

“Isu ini sudah lama berbangkit dalam kalangan Orang Asli berhampiran sejak aktiviti itu dimulakan,” katanya.

Katanya ketiga-tiga Orang Asli berkenaan tidak ditahan tetapi dibenarkan pulang setelah keterangan diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin keruh dan masalah berhubung isu berkenaan akan dibincangkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bersama kumpulan itu.

-BERNAMA


Pengarang :