AGENDA JENAYAH

Polis berkas suami isteri disyaki terlibat kes samun

KEPALA BATAS, 26 JUL : Polis menahan pasangan suami isteri semalam kerana disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun dan pecah kedai di sekitar daerah Seberang Perai Utara dan Padang Serai, Kedah sejak tiga bulan lepas.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata suami isteri berusia 29 dan 26 tahun itu ditahan dalam sebuah bilik sewa rumah tumpangan di Kulim, Kedah kira-kira 11 pagi hasil risikan dan intipan sejak seminggu lepas.

Katanya susulan penahan pasangan itu, polis merampas 97 utas rantai tangan, 198 bentuk cincin dan 25 bentuk loket warna kekuningan disyaki emas Korea, 53 bentuk cincin berwarna putih serta 40 utas jam tangan dan 32 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

“Siasatan kami mendapati semua barangan dirampas bernilai RM30,000 itu adalah hasil kegiatan pecah kedai barangan emas Korea dan kedai telefon bimbit yang belum sempat mereka jual kepada pembeli,” katanya di sini.

Selain itu, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai yang digunakan untuk melakukan kegiatan pecah kedai antaranya kuku kambing, pemutar skru, spanar, pemotong wayar, tiga unit topi keledar dan sebuah motosikal jenama SYM.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati pasangan berkenaan positif dadah dan mereka yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan. -BERNAMA


Pengarang :