SELANGOR

Polis buru bapa disyaki rogol anak 13 tahun

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki merogol anak kandungnya berusia 13 tahun di Kajang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki berumur 40 tahun itu didakwa merogol anak perempuannya sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dirogol tiga kali seminggu dan diugut supaya mendiamkan diri jika tidak mahu ibunya dicederakan.

“Mangsa yang tidak tahan dengan sikap suspek mendapatkan bantuan daripada guru dan membuat laporan pada Khamis lalu.

“Hasil pemeriksaan perubatan mendapati terdapat kesan koyakan dan melecet pada bahagian kemaluan mangsa dan mangsa kini dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-2299906 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-BERNAMA


Pengarang :