Seorang jurujual emas dan rakannya berdepan detik cemas apabila dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang di lebuh raya Besraya pada 21 Sept 2020.
BERITA UTAMA

Polis buru dua penyamun kedai serbaneka

IPOH, 29 JULAI: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyamun rokok dengan memakai topeng dan bersenjatakan parang, di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Komersial Waterfront, Sungai Siput Utara dekat sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7.40 pagi dan segera ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, dua suspek berusia lingkungan antara 20 hingga 30 tahun masing-masing yang mengenakan topeng ‘halloween’, memasuki ke dalam kedai berkenaan dengan membawa parang, lalu merampas kotak rokok yang diletakkan di bahagian kaunter juruwang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat seorang juruwang wanita berada di kaunter bayaran, manakala seorang lagi pekerja berada di dalam tandas.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai melarikan kesemua kotak rokok pelbagai jenis bernilai RM2,000, dengan menaiki motosikal sebaik menyedari kehadiran orang awam.

Mohd Khaizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kerana melakukan samun berkawan bersenjatakan parang.

Sebelum ini tular rakaman kamera litar tertutup yang menyaksikan dua suspek bertopeng dan mengacukan parang pada juruwang wanita, sambil merampas kotak rokok yang diletakkan pada bahagian belakang kaunter bayaran.

-BERNAMA


Pengarang :